Strok haba: Arwah bercita-cita sertai VAT 69 - Utusan Malaysia

Strok haba: Arwah bercita-cita sertai VAT 69

IBU Allahyarham Konstabel Muhamad Irfan Irham Badrul Hisam, Norizan Idris menunjukkan gambar anaknya yang meninggal dunia akibat strok haba. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Anggota Pusat Latihan Pasukan Gerakan Am (PLPGA) Ulu Kinta, Konstabel Muhamad Irfan Irham Badrul Hisam, 21, yang meninggal dunia akibat strok haba semalam, memasang impian untuk menyertai Pasukan 69 Komando (VAT 69).

Ibu Allahyarham, Norizan Idris, 49, berkata, anak kedua daripada tujuh beradik itu memberitahu akan turut serta dalam pemilihan yang diadakan pada hujung tahun ini.

“Irfan memang impi untuk masuk komando. Apabila dia ditempatkan di PGA Ulu Kinta, dia terus beritahu mahu sertai pasukan itu. Mungkin hari-hari melihat pasukan itu menyebabkan dia juga memasang impian sama.

“Saya tiada halangan, lagipun dia memang gemarkan aktiviti lasak seperti mendaki. Apa pun yang dia minat, sebagai ibu saya sokong dan hanya minta untuk jaga diri,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini hari ini.

Menurutnya, dia mengetahui kejadian menimpa Muhamad Irfan pada pukul 5.30 petang selepas dihubungi pihak PGA yang memaklumkan anaknya rebah ketika kursus dipercayai akibat strok haba.

“Bila mereka beritahu anak dihantar ke Klinik Kesihatan Tanjung Rambutan kerana strok haba, saya sudah tidak sedap hati kerana tahu kesannya.

“Apapun, jika pengakhiran Irfan begini, saya dan keluarga terima ketentuan ini. Saya anggap kematian anak sebagai jihad dan bukan semua orang dapat.

‘Sebagai seorang ibu, sudah tentu saya sedih tetapi saya tetap bersyukur kerana dia pergi ketika sedang bertugas,” katanya.

Tambahnya, kali terakhir dia berjumpa anaknya itu pada Hari Raya Aidiladha lalu dan tiada sebarang perubahan ketara ditunjukkan Muhamad Irfan melainkan lebih banyak duduk di rumah.

“Irfan ceria macam biasa cuma kali ini dia kurang keluar dengan kawan-kawan dan hanya duduk di rumah. Setahu saya, dia tiada penyakit dan tidak pernah alami sawan.

“Dia baharu sahaja menamatkan latihan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Langkawi pada 12 Januari lalu dan ditempatkan di PLPGA Ulu Kinta. Baru enam bulan dia berkhidmat dalam PDRM,” katanya.

Terdahulu, Muhamad Irfan dilaporkan meninggal dunia selepas rebah sebelum diserang sawan dan meracau ketika sedang mengikuti kursus asas Pasukan PGA Siri 1/2023.

Difahamkan, Muhamad Irfan daripada Cawangan Kompeni Demo PLPGA itu baharu sahaja tiga hari melapor diri sebagai peserta kursus tersebut pada Ahad lalu. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN