IPOH: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Tasek di sini mencatat prestasi cemerlang dengan merekodkan 12 calon memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.0 dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2022 yang diumumkan hari ini.
Jumlah itu mengatasi jumlah terbaik yang meraih PNGK 4.0 sebelum ini iaitu seramai enam orang calon yang menduduki peperiksaan STPM tahun 2021.
Pengetuanya, Salleh Yusuf berkata, jumlah calon yang mencatat PNGK 3.5 ke atas juga meningkat daripada 21 orang pada tahun 2021 kepada 33 orang bagi peperiksaan tahun 2022.
Menurutnya, kesungguhan guru merupakan faktor utama keputusan cemerlang yang dicapai calon STPM sekolah itu.
Beliau berkata, guru bertugas dengan penuh komited, dedikasi tanpa jemu walaupun persiapan untuk menduduki peperiksaan 2022 dijalankan semasa pasca pandemik Covid-19.
“Walaupun ketika itu kami mengalami kekangan dari segi kehadiran murid secara bersemuka di sekolah, namun guru-guru menerusi inisiatif mereka mengadakan kelas secara online.
“Apabila pelajar dibenarkan hadir ke sekolah, guru mengadakan kelas tambahan, contohnya selepas sesi persekolahan dan pada hari Sabtu.
“Selain itu, keputusan cemerlang yang diraih pelajar juga dibantu oleh guru-guru yang berpengalaman mengajar agak lama, jadi kepakaran yang mereka ada, dapat mereka gunakan untuk meningkat keputusan peperiksaan pelajar,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Salleh berkata, Program Tuisyen Cikgu Saarani juga membantu persediaan pelajar ketika mereka membuat persiapan untuk menghadapi peperiksaan.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri yang melaksanakan Program Tuisyen Cikgu Saarani, program ini turut memberi dorongan kepada calon peperiksaan.
“Bajet yang diberikan di bawah program itu, iaitu untuk duit makan kami gunakan untuk setiap kali sesi kelas tambahan, apabila disediakan makanan secara tak langsung ini mendorong pelajar untuk terus berada di sekolah,” katanya.
Terdahulu hari ini, Pengarah Pendidikan negeri, Mohamad Fauzi Mahson berkata, SMK Jalan Tasek mempamerkan prestasi cemerlang dengan merekodkan 12 calon memperoleh PNGK 4.0 diikuti Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Sam Tet (7), SMK St. Michael (6) dan SMK Methodist (4). – UTUSAN