GEORGE TOWN: Sebanyak 16 sekolah daripada 25 buah sekolah kerajaan yang mendaftar untuk calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) mencapai kelulusan penuh 100 peratus bagi 2022.
Pengarah Pendidikan negeri, Abdul Rashid Abdul Samad berkata, antara sekolah tersebut ialah Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Chung Hwa Confucian; SMKA (L) Al- Mashoor; SMKA (P) Al-Mashoor; SMJK Perempuan Cina; SMJK Heng Ee; Kolej Tingkatan Enam Haji Zainul Abidin dan Kolej Tingkatan Enam Hutching.
Jelasnya, daripada seramai 2,007 calon yang layak mendapat sijil pula, seramai 73 orang menunjukkan prestasi yang cemerlang dengan keputusan PNGK 4.00.
“Purata PNGK negeri ini bagi peperiksaan STPM 2022 ialah 2.85 iaitu kekal seperti tahun 2021,” katanya dalam sidang akhbar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lelaki Methodist di Ayer Itam, di sini hari ini.
Menurut beliau, daripada seramai 2,153 orang calon sekolah KPM yang telah mendaftar peperiksaan STPM 2022, seramai 2,007 orang calon telah menduduki dan layak mendapat sijil.
“Sijil akan dikeluarkan kepada calon yang mendapat lulus penuh dan lulus sebahagian,” katanya.
Tambahnya, seramai 19 calon berjaya memperoleh 5P;1,498 calon (4P); 260 (3P); 114 (2P) dan 80 calon lulus 1P.
“Terdapat calon berkeperluan khas yang memperoleh keputusan cemerlang iaitu Ooi Xiue Lam dari SMK Telok Ayer Tawar yang berjaya memperoleh PNGK 4.00.
”Seorang lagi calon berkeperluan khas, Nawal Mohd. Nazree dari Kolej Tingkatan Enam Desa Murni pula berjaya memperoleh PNGK 3.92,” katanya. – UTUSAN