GEORGE TOWN: DAP meminta Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan tidak mencampuri urusan parti itu terutama dalam soal calon-calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN).
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, adalah lebih baik sekiranya bekas Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkenaan menjaga urusan partinya sendiri berbanding menjaga urusan parti lain.
“Wan Saiful itu Setiausaha Agung DAP ke? Saya tanya adakah dia Setiausaha Agung DAP, dia boleh tentukan calon kita (DAP)?
”Saya rasa tidak payahlah nak jaga tepi kain orang, dia sibuk dia punya hal sendiri,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu, Anthony menyaksikan pemeteraian MoU antara Railway Assets Corp dan ThinkCity di sini.
Anthony mengulas mengenai video tular yang dimuat naik Wan Saiful di Facebook beliau yang mendakwa terdapat khabar angin kononnya Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim akan bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pulau Pinang pada PRN ini.
Wan Saiful mendakwa langkah itu dibuat oleh DAP untuk menggantikan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow yang dikatakan gagal memimpin Pulau Pinang.
DUN Pulau Pinang dibubarkan pada 28 Julai lalu bagi memberi laluan kepada PRN diadakan.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh pengundian bagi pilihan raya negeri (PRN) serentak di enam negeri pada 12 Ogos ini. – UTUSAN