PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil inisiatif menggunakan sebanyak 142 unit kamera badan (BWC) kepada pegawai yang menjalankan operasi siasatan bagi membanteras tohmahan dibuat segelintir individu.
Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, penggunaan BWC diharap boleh membuktikan ketelusan ketika pegawai agensi itu menjalankan tugas terutama ketika operasi.
“Setakat ini, kita membeli sebanyak 142 unit dengan bajet yang terhad dan akan membekalkannya kepada pegawai terlibat operasi penting di Ibu Pejabat SPRM dan di negeri-negeri.
“Jadi, dengan penambahan bajet yang diterima SPRM daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kita akan tambah lagi penggunaan BWC berikutan risiko rosak akibat kekerapaan penggunaan juga tinggi,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan pemakaian BWC di sini hari ini.
Pemakaian BWC bertujuan merekod secara audio dan visual setiap tugasan serta peristiwa berlaku semasa proses siasatan dijalankan SPRM.
Ia termasuklah bagaimana suspek atau saksi dikendalikan oleh pegawai SPRM sepanjang tempoh siasatan sekali gus memastikan setiap pegawai termasuklah mereka yang membantu siasatan atau suspek sentiasa dilindungi di bawah penguatkuasaan undang-undang.
Mengulas lanjut, Azam berkata, pembelian BWC juga tidak menelan belanja tinggi berikutan peranti itu dibeli terus daripada pembekal dengan mengikut harga ditetapkan dalam pasaran.
“Jika kita beli sistem, maknanya ia akan disimpan dalam bentuk data, jadi kerana mahu jimatkan masa dan lebih praktikal, kita guna kamera ini secara sendirian di mana kad SD akan disimpan untuk rujukan jika ada keperluan untuk ke mahkamah atau isu-isu lain,” jelasnya.- UTUSAN