SPRM gesa siasat segera Ahmad Amzad - AMK

SPRM gesa siasat segera Ahmad Amzad – AMK

BRYAN Ng Yih Miin (tiga dari kiri) dan Mohd. Afiq (dua dari kanan) selepas menghantar memorandum kepada SPRM menggesa supaya Ahmad Amzad disiasat segera di ibu pejabat SPRM Putrajaya. - UTUSAN/MOHD HUSNI MOHD NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Angkatan Muda Keadilan (AMK) mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan siasatan segera dan menyeluruh ke atas calon Parlimen P.036 Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim.

Exco AMK Pusat, Mohd. Afiq Ayob berkata, pihaknya hairan kenapa Ahmad Amzad masih dicalonkan semula sedangkan Mahkamah Tinggi sebelum ini berjaya membuktikan wujud elemen rasuah di Parlimen itu pada Pilihan Raya Umum Ke15 (PRU15) lalu.

“Kami pelik kenapa Perikatan Nasional (PN) masih mencalonkan individu sama biarpun pada 27 Jun lalu, mahkamah dapati beliau bersalah gara-gara wujud elemen rasuah.

“Justeru, kami mahu SPRM melakukan siasatan segera bagi menyiasat Ahmad Amzad kerana jelas bukti menunjukkan beliau terbabit kesalahan rasuah pada PRU15 lalu,” katanya ketika ditemui selepas menghantar memorandum bantahan kepada SPRM di sini, hari ini.

Sementara itu, seorang lagi Exco AMK Pusat, Bryan Ng Yih Miin berkata, sewajarnya SPRM mengambil tanggungjawab untuk menyiasat segera kes rasuah membabitkan Ahmad Amzad itu.

Katanya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga perlu meneliti balik pencalonan semula Ahmad Amzad sebagai calon di Parlimen itu.

“Keadaan ini sama sekali tidak boleh diterima oleh rakyat dan SPRM serta SPR perlu melakukan sesuatu demi menjaga kepentingan awam,” katanya.

Mahkamah Pilihan Raya pada 27 Jun lalu membatalkan kemenangan calon Pas, Ahmad Amzad bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu PRU15 kerana wujud unsur rasuah.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril membenarkan petisyen pilihan raya yang difailkan calon Barisan Nasional (BN) di kerusi Parlimen itu, Mohd Zubir Embong.

Mahkamah mendapati, bukti-bukti yang dikemukakan mencukupi untuk mengisytiharkan kerusi bagi Parlimen Kuala Terengganu terbatal dan tidak sah mengikut Seksyen 36 Akta Kesalahan Pilihan Raya.

Sabtu lalu, Ahmad Amzad dipilih semula sebagai calon untuk bertanding di Parlimen itu mewakili Perikatan Nasional (PN) manakala, pencabarnya ialah bekas Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail yang mewakili PKR. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya