SUNGAI PETANI: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan diberi ruang sepenuhnya untuk melakukan siasatan berhubung dakwaan elemen rasuah melibatkan Jabatan Imigresen (JIM) terutama di pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kementerian itu akan menghulurkan kerjasama seluas-luasnya kepada SPRM untuk agensi berkenaan melengkapkan proses yang diperlukan.
“Sekurang-kurangnya ada tiga perkara di sini iaitu pertamanya secara spesifik dakwaan mengatakan ada elemen rasuah. (Pendirian kita) dengan terang dan fasih SPRM dipelawa tanpa apa-apa halangan untuk memulakan atau meneruskan siasatan bagi mengesahkan dakwaan tersebut.
“Perkara kedua merujuk khusus kepada insiden tempoh hari, saya telah berbincang dengan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (Datuk Seri Tiong King Sing). Hasilnya akan kami bawa kepada mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu ini,” katanya pada sidang akhbar selepas Sambutan Hari Ulang Tahun Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) ke-51, hari ini.
Baru-baru ini, King Sing menyifatkan tindakan beliau dalam insiden seorang wanita warga China yang dinafikan kemasukan ke negara ini di KLIA bagi membongkar ‘peristiwa’ memalukan.
Beliau yang mengakui gambar tular di media sosial berhubung isu itu mendakwa wujudnya budaya rasuah dilakukan segelintir pegawai dan penyalahgunaan kuasa yang kronik di pintu masuk negara.
Dalam perkara ketiga ujar Saifuddin, JIM hanya mengamalkan peraturan imigresen antarabangsa yang diterima pakai majoriti negara untuk mengawal pintu masuk sempadan kerana ia bukan pemeriksaan biasa sebaliknya melibatkan elemen keselamatan.
“Apabila kita melepasi kaunter imigresen ada sekurang-kurangnya tiga soalan asas yang mereka akan tanya iaitu di mana tempat tinggal kita, adakah mempunyai dana yang cukup sepanjang tempoh pelawat berada di sesuatu negara dan yang ketiga ada tak tiket pulang.
“Sekiranya pelawat melepasi tiga soalan itu, urusan seterusnya tak ada masalah dan hanya jika ada masalah di peringkat itu barulah proses seterusnya mengambil tempat iaitu Notis Penolakan Masuk (NTL) yang berasaskan kepada komunikasi imigresen dengan pelawat,” katanya.
Bagaimanapun Saifuddin berkata, jumlah pelawat yang dikenakan NTL ke negara ini sangat kecil jika dibandingkan dengan pengunjung yang dibenarkan masuk.
“Misalnya pelawat dari China bulanan antara purata 50 ke 60 orang sahaja (dikenakan NTL). Tapi itu adalah proses biasa yang dilakukan mengikut peraturan oleh pegawai imigresen yang bertugas di pintu masuk negara,” katanya.
Sementara itu, ketika ditanya sama ada terdapat keperluan untuk kementeriannya memperluas penggunaan kamera badan dalam kalangan anggota dan pegawai imigresen, beliau berkata, tumpuan ketika ini adalah melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terlebih dahulu.
“Buat masa ini kami fokus kamera badan ini kepada pasukan polis dahulu (kerana) yang itu bajet dah ada dan proses untuk menyediakannya sudah berjalan. Letak di situ dahulu, saya tak mahu berlebih-lebihan. Saya kekal di situ dahulu tak mahu komen apa-apa bab itu (keperluan),” katanya. –UTUSAN