PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diminta supaya mendedahkan segera hasil siasatan berhubung isu rasuah bernilai RM97 juta membabitkan Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar dan pegawai-pegawainya.
Ahli Jawatankuasa Bersatu Bersekutu Malaysia, K. Vasantha berkata, kes itu sudah tiga bulan berlalu, namun sehingga kini tiada sebarang pendakwaan biarpun siri siasatan, penahanan dan penggeledahan dilakukan.
Beliau berkata, pihaknya melihat SPRM tidak begitu komited untuk melihat kes rasuah ini terutama membabitkan kenamaan dan pegawai dalam kerajaan.
“Kes ini sudah berlalu sejak 90 hari lalu, namun sehingga sekarang belum ada pendakwaan dilakukan terhadap Sivakumar dan pegawai-pegawainya.
“Jika ada bukti kukuh daripada hasil siasatan kes itu, maka pendakwaan harus dilakukan segera,” katanya ketika ditemui selepas menghantar memorandum kepada suruhanjaya itu di Ibu Pejabat SPRM di sini, hari ini.
Katanya, pihaknya melihat dua modul berbeza pendakwaan di mana SPRM lebih pantas dalam kes berkaitan Jana Wibawa berbanding kes melibatkan Sivakumar.
Vasantha berkata, pihaknya merayu SPRM supaya mengamalkan proses undang-undang secara telus dan berhemah dalam membuat siasatan melibatkan individu dan kenamaan pro kerajaan.
Menurutnya, beliau yakin SPRM telah melengkapkan siasatan dan boleh meneruskan proses undang-undang ke atas Sivakumar dan pegawainya tanpa mengambil masa yang lama.
“Ini kerana rakyat memerhatikan integriti dan komitmen SPRM dalam membasmi rasuah tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak dalam kerajaan atau pengaruh luar,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan SPRM menggeledah pejabat dan kediaman Sivakumar pada April lalu bagi melengkapkan siasatan berhubung dakwaan menerima wang bernilai jutaan ringgit menerusi orang tengah sebagai jaminan meneruskan kontrak kerajaan terhadap individu tertentu.
SPRM turut menahan lima pegawai Sivakumar termasuk Setiausaha Sulit dan pegawai tugas-tugas khasnya bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan pengambilan pekerja asing. – UTUSAN