PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memanggil ramai lagi saksi bagi membantu siasatan berhubung dakwaan berlaku penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa melibatkan aktiviti perlombongan unsur nadir bumi (REE) di Kedah.
Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, siasatan masih dijalankan dan setakat ini seramai empat individu ditangkap untuk tujuan tersebut.
Menurut beliau, kes berkenaan bukan hanya melibatkan siasatan berunsur wang semata-mata, tetapi ia turut membabitkan isu pematuhan dalam kelulusan aktiviti perlombongan REE itu.
“SPRM ini kita bukan sahaja siasat, tetapi siasatan kita berhubung kesalahan rasuah, salah guna kuasa dan sebagainya.
“Tanggungjawab kami di bawah seksyen 7, untuk melihat sistem dan prosedur yang ada sekiranya berlaku kelemahan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Sebelum ini, Azam mengesahkan bahawa pihaknya masih mengesan beberapa saksi dari China yang didakwa membuat pelaburan dalam aktiviti perlombongan itu.
Menurut beliau, setakat ini belum ada ahli politik yang dipanggil berhubung isu berkenaan termasuk Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dan siasatan masih dijalankan serta perlu masa untuk dilengkapkan.
Terdahulu, SPRM mengesahkan telah merakam keterangan 12 saksi bagi membantu siasatan dan setakat ini secara keseluruhannya seramai empat suspek ditahan termasuk iaitu seorang pegawai kanan yang berkhidmat dengan Kerajaan Negeri.
Pada 19 Julai lalu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar (MBI) dan seorang wanita berjawatan pengarah sebuah syarikat ditahan berkaitan kes rasuah dan salah guna kuasa dalam sektor perlombongan membabitkan nilai rasuah didakwa lebih RM13 juta.
Dalam pada itu, seorang pembantu kepada pemilik syarikat juga ditahan dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 17 dan 23 Akta SPRM 2009. – UTUSAN