KOTA BHARU: PKR mendakwa sokongan rakyat terhadap Kerajaan Pas Kelantan semakin merosot sebanyak 50 peratus.
Timbalannya, Rafizi Ramli berkata, ini kali pertama tahap kepuasan rakyat terhadap kerajaan negeri jatuh berpandukan data yang dimiliki beliau bermula 2016 lalu hingga ini.
Menurutnya, situasi itu memberi petanda yang baik buat gabungan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) untuk menang pada pilihan raya negeri (PRN) 12 Ogos ini.
“Apa yang penting sekarang ialah memomentum kempen kerajaan Perpaduan di negeri ini.
“Kalau ada yang kata, Kelantan ini langsung tak nak berubah itu tidak betul. Sebenarnya sudah ada tanda-tanda yang pengundi terbuka untuk melakukan perubahan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah Jelajah Madani di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Limbongan di sini hari ini.
Ahli Parlimen Pandan itu memberitahu, PH-BN akan terus mendekati kumpulan pengundi atas pagar pada PRN yang akan menjadi penentu kepada perubahan nanti.
Katanya, bentuk kempen dan isu-isu yang dibawa akan menjadi penentu dalam usaha memenangi hati pengundi atas pagar.
“Kita perlu yakinkan mereka (pengundi atas pagar) menggunakan fakta. Faktanya, Kelantan paling miskin, kemajuan ekonomi paling ke belakang dan peruntukan yang diberikan kepada negeri ini bukan sedikit oleh Kerajaan Pusat.
“Jadi disebut Kelantan dianak tirikan itu tidak betul. Kelantan dapat peruntukan besar setiap tahun begitu juga soal air,” ujarnya.
Rafizi berkata, isu air bukan melibatkan peruntukan, sebaliknya membabitkan banyak perkara-perkara lain dan Kerajaan Persekutuan sedia membantu dengan syarat ia mesti dikawal selia sebaik mungkin. – UTUSAN