PETALING JAYA: Empat lelaki ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki terlibat menyogok penguat kuasa bagi menyeludup dan melupuskan sisik tenggiling serta terlibat dengan aktiviti pengubahan wang haram.
Menerusi Op Jaguar yang dijalankan oleh Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM di sebuah premis di Klang, Selangor dan di Kuala Lumpur, semalam turut merampas hampir dua tan sisik haiwan itu yang bernilai kira-kira RM23.4 juta.
Menurut sumber, kesemua suspek berusia antara 30 hingga 50-an itu dipercayai ditahan di pejabat SPRM Selangor kira-kira jam 8 malam semalam ketika hadir memberi keterangan.
Kata sumber itu, susulan penahanan tersebut, Majistret A. Karthiyayini telah membenarkan tiga suspek direman selama 4 hari bermula hari ini sehingga 18 Julai ini.
“Seorang lagi suspek berusia 40-an direman selama dua hari sehingga 16 Julai ini setelah SPRM mengemukakan permohonan reman di Mahkamah Majistret Shah Alam, pagi ini,” jelasnya.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Pengubahan Wang Haram dan Pelucuthakan Harta (AML) SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin yang mengesahkan penahanan tersebut.
Kata beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001. – UTUSAN