GEORGE TOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang sedang meneruskan pelaksanaan Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) Pulau Pinang Selatan (PSI) dengan menghantar nelayan ke kursus jurumudi dan mewujudkan peluang pekerjaan.
Nelayan yang ingin meneruskan aktiviti tangkapan ikan akan dibantu dengan bot yang lebih besar dan enjin yang berkapasiti tinggi dengan kelengkapan aksesori.
Pelan SIMP juga merangkumi saluran navigasi selebar 250 meter yang membolehkan nelayan pergi ke laut tanpa mengira air pasang surut.
Individu lain termasuk penduduk tempatan yang berminat mencari pekerjaan alternatif boleh mulai memohon kekosongan jawatan yang tersedia sekarang.
Baru-baru ini, 11 orang nelayan telah dihantar mengikuti kursus jurumudi di Akademi Maritim Penjana Ilmu di Perai selama seminggu untuk belajar menjangka peta (chartwork), peraturan (rules and regulations), meteorologi, pengetahuan umum mengenai kapal dan kejuruteraan, latihan am dan lain-lain.
Nelayan Permatang Tepi Laut, Zazali Sirun, 55, berkata, pada awalnya dia berasa sukar untuk kembali ke bilik darjah setelah sekian lama bekerja sebagai nelayan.
“Saya telah menjadi nelayan selama lebih 20 tahun tanpa mengetahui apa-apa tentang undang-undang maritim. Apa yang saya ada hanyalah lesen nelayan tetapi apabila saya mula belajar, ia tidak terlalu susah.
“Berkat peluang daripada kerajaan negeri melalui PSI, saya telah belajar mengira batu nautika untuk merancang perjalanan di laut, cara perjalanan dengan lebih selamat dan peraturan yang perlu dipatuhi ketika berada di laut,” katanya.
Seorang lagi nelayan, Eng Phaik Khoon, 49, dari unit nelayan Gertak Sanggul juga berkata, kursus pelaut itu amat berguna kepada nelayan sepertinya.
“Kami sebenarnya mendapat lebih daripada sijil jurumudi. Kita dapat belajar tentang peraturan maritim dan boya yang berbeza di laut,” katanya.
Phaik Khoon berkata, walaupun dia sudah menjadi nelayan sejak berusia 13 tahun, banyak perkara yang dia tidak tahu mengenai keselamatan navigasi dan undang-undang maritim ketika berada di laut sebelum ini.
Dia berkata, segala yang dipelajarinya di akademi itu amat berguna untuknya sebagai seorang nelayan termasuk ilmu baharu yang paling dia hargai ialah tujuan boya yang pelbagai warna dan bentuk yang terapung di laut.
“Dulu saya tidak tahu apa tujuan setiap boya atau lampunya. Sekarang saya tahu bahawa boya yang berbeza memberi amaran kepada kita tentang bahaya seperti perairan cetek atau objek di bawah air,” katanya.
Kedua-dua nelayan tersebut adalah sebahagian daripada kumpulan nelayan yang kedua dari kawasan PSI untuk menghadiri kursus “Mate Domestic less than 500 GT Open”.
Pada tahun lalu, kumpulan pertama yang terdiri daripada sembilan nelayan telah lulus kursus untuk menerima sijil jurumudi mereka.
Selepas mengikuti kelas tersebut, nelayan akan menjalani peperiksaan lisan di Jabatan Laut untuk mendapatkan Sijil Kecekapan (COC), yang membolehkan mereka bekerja di perairan negara sebagai pelaut.
Dengan COC, mereka boleh bekerja di atas pontoon dan kapal-kapal yang kurang daripada 500 ton kasar (gross tonnage) serta berpeluang memberi perkhidmatan pengangkutan bot untuk pekerja pembinaan dan pelancong di masa depan sebagai satu sumber pendapatan tambahan atau alternatif.
Nelayan yang berminat untuk peningkatan kemahiran sebagai pendapatan alternatif akan dipilih secara berperingkat setiap tahun untuk menghadiri kursus dan mengambil peperiksaan untuk memperoleh COC.
Sementara itu, projek PSI turut mewujudkan peluang pekerjaan baharu.
Satu siri temuduga pekerjaan sedang diadakan dari masa ke masa untuk mengambil pekerja am, jurumudi, juruteknik penyelenggaraan, pemandu dan lain-lain untuk bekerja di tapak pembinaan.
Seorang jurumudi dari Balik Pulau, Abdul Hadi Abdul Shukor, 37, berkata, dia ingin mencuba nasib mendapatkan pekerjaan tetap ekoran syarikat tempat kerjanya sebelum ini telah menamatkan operasi kesan perintah kawalan pergerakan (PKP) Covid-19.
Abdul Hadi yang mempunyai tiga orang anak berusia tiga hingga lapan tahun berkata, dia bekerja sendiri sejak itu dengan menyediakan khidmat bot untuk pelancong dan pemancing.
“Saya bekerjasama dengan seorang rakan. Kami dapat mencari makan tetapi pendapatan tak menentu. Apabila cuaca tidak baik, kami tak boleh keluar ke laut,” katanya.
Penduduk Teluk Kumbar, Muhamad Firdaus Yusof, 24, pula meminta kerja sebagai pekerja am untuk membantu keluarganya yang besar.
Bapanya yang dahulunya bekerja di Universiti Sains Malaysia (USM) baru meninggal dunia awal tahun ini dan salah seorang adiknya menghidap penyakit kanser.
“Walaupun ibu mendapat pencen bapa, saya perlu tolong menyara keluarga dan membayar bil,” kata pemuda itu yang kini bekerja sebagai penghantar makanan.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Penang Infrastructure Corporation, Datuk Seri Farizan Darus berkata, pelaksanaan SIMP akan dirancakkan lagi apabila penambakan PSI bermula.
“Ini akan memupuk pertumbuhan perniagaan kecil dan menguatkan kesan pengganda dalam seluruh komuniti Selatan, seterusnya meningkatkan rezeki di rantau ini,” katanya.
Pada masa ini, pelopor projek sedang menanti kelulusan Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) untuk memulakan penambakan.
“Apabila projek bermula, kita juga akan ada lebih banyak peluang pekerjaan yang dapat memanfaatkan rakyat Pulau Pinang, terutama sekali ahli komuniti setempat.
“Kerajaan negeri komited untuk memastikan pelaksanaan PSI memberi manfaat kepada semua rakyat Pulau Pinang dan menyediakan rangsangan kepada perniagaan kecil,” kata Farizan.
Pendaftaran pekerjaan telah dilancarkan di PPSN sejak 2016. Sehingga kini, seramai 1,100 penduduk tempatan termasuk nelayan telah mendaftar minat untuk kekosongan jawatan yang ada.
Terdapat kira-kira 600 peluang pekerjaan berasaskan laut dan darat akan ditawarkan dalam tempoh 18 bulan fasa tambakan yang akan datang.
Sesiapa yang berminat boleh menghubungi PPSN melalui talian 1800-88-6393, emel [email protected] atau berkunjung ke mana-mana pejabatnya di Permatang Damar Laut, Sungai Batu dan Gertak Sanggul untuk maklumat lanjut serta menghantar resume. – UTUSAN