Sistem pendidikan negara teruk?

Sistem pendidikan negara teruk?

MASZLEE Malik ketika berucap pada forum Pendidikan di Malaysia yang diadakan di University of Cyberjaya. - UTUSAN/AMREE AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA: Bekas Menteri Pendidikan, Prof. Dr. Maszlee Malik mengakui bahawa sistem pendidikan negara ketika ini agak teruk dan memerlukan banyak lagi penambahbaikan.

Beliau secara terbuka malah mendedahkan kegagalan terbesar kepada isu tersebut ialah projek 1BestariNet pada 2012 dan disifatkan langsung tidak mendatangkan apa-apa hasil.

Bahkan beliau mendakwa ketika sekolah ditutup ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana isu Covid-19, sepatutnya tiada pun isu pembelajaran luar kelas yang timbul.

“Ini bukan pun projek baharu kerana telah dibuat lebih awal dan semasa pandemik tercetus, itulah waktu terbaik pelaksanaannya namun ia bertukar kegagalan terbesar,” jelasnya yang juga profesor di Fakulti Psikologi dan Sains Sosial, University of Cyberjaya ketika berucap pada forum ‘Pendidikan di Malaysia’, di sini hari ini.

Meskipun tidak disebut secara spesifik, Maszlee dalam nada berlapik menyelar menteri yang bertanggungjawab ke atas projek 1BestariNet itu sebagai lebih mengutamakan kroni.

Secara berseloroh, beliau mendakwa isu tersebut juga menjadi punca dirinya ‘ditendang’ daripada Kabinet pada 2020 lalu kerana lantang mempersoalkan kegagalan projek itu.

Bagaimanapun ujarnya, ia dapat disaksikan ketika seluruh negara dikenakan PKP, sistem pendidikan negara ‘lumpuh’ ekoran kepincangan pengajaran dan pembelajaran di rumah.

“Sepatutnya Malaysia sudah pun ada sistem liputan luas terbaik ketika itu tetapi akibat kegagalan projek ini, ia telah menghancurkan masa depan pendidikan negara,” katanya.

Maszlee turut membongkar usaha dilakukan lebih 16,000 pakar pendidikan tempatan yang bersedia menerbitkan cetak biru Model Pendidikan Baharu, tetapi ia juga terbantut termasuklah penggunaan Google Classroom yang lebih baik dan tidak memerlukan kos besar selain boleh menggunakan peranti terpakai.

Pelan itu ujarnya bakal menggantikan Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025 yang dianggap amat ketinggalan zaman namun ditolak pihak Kementerian Pendidikan sendiri.

Beliau juga menyentuh mengenai isu bebanan tugas guru apabila perlu melakukan kerja bukan hakiki mereka sehingga menjejaskan tumpuan kepada pengajaran dalam kelas.

Situasi tersebut katanya, turut menjadi faktor kenapa sekolah kebangsaan tidak menjadi pilihan ibu bapa di bandar yang lebih selesa agar anak mereka belajar di sekolah swasta.

Sehubungan itu, beliau menyarankan pihak kementerian memberikan kuasa autonomi yang lebih kepada pengetua untuk bebas tidak terikat dalam memutuskan apa-apa isu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya