PUTRAJAYA: Meskipun baru dilancarkan, sistem iPatuh yang dibangunkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya membongkar ketirisan kira-kira RM1.5 bilion sepanjang tahun lalu.
Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, ia sekali gus membuktikan keberkesanan sistem pengauditan dalaman itu apabila data fail dari semua syarikat dapat diaudit lebih pantas kepada dua bulan berbanding empat bulan sebelum ini.
Katanya, sistem dilaksanakan secara berperingkat sejak 2019 itu mengandungi empat modul dan memiliki keupayaan berkolaborasi dengan pelbagai peranti secara bank data integrasi dengan kos perbelanjaan RM375,000.
“Ia dibangunkan pasukan pegawai teknikal Bahagian Pengurusan Pematuhan JKDM sendiri setanding pakar teknologi maklumat di luar dan menjimatkan bajet agensi itu sebanyak RM8.6 juta.
“Bayangkanlah ia memudahkan proses pengauditan dibuat terus oleh kira-kira 15,000 pegawai JKDM dan mampu meningkatkan kecekapan pengesanan ketirisan cukai,” jelasnya selepas melancarkan iPatuh dan menyampaikan penghargaan kepada 10 orang pegawai terlibat di sini hari ini.
Ahmad berkata, melalui usaha itu, terbukti apabila hasil keupayaan penyelesaian kes telah melonjak 125 peratus kepada lebih 10,000 fail pada tahun lalu dan juga dijangka bertambah tahun ini.
Pada masa sama, beliau membayangkan kutipan cukai yang diperoleh akan naik apabila iPatuh digabungkan dengan e-Invois dimajukan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Mekanisme yang dianggap menggantikan kaedah Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) itu telah bermula awal tahun ini bagi menjejak peniaga tidak jujur ‘lari’ membayar cukai.
Kedua-dua sistem atas talian itu tambah Ahmad lagi, selaras dengan usaha transformasi pendigitalan yang meliputi pelbagai agensi dan jabatan di bawah Kementerian Kewangan.
Beliau turut memberi contoh aplikasi baharu bakal dilancarkan Jabatan Audit Negara yang akan menyelesaikan isu wang tidak dituntut berjumlah lebih RM11 bilion pada ketika ini bagi memudahkan rakyat mengenal pasti wang simpanan tidak dituntut waris dengan lebih cepat. – UTUSAN