Sindiket seleweng gas LPG tumpas, hampir RM100,000 nilai rampasan

Sindiket seleweng gas LPG tumpas, hampir RM100,000 nilai rampasan

KPDN menyerbu sebuah premis aktiviti penyelewengan gas PG di Kampung Pantai, Tanjung Sepat, Selangor. - GAMBAR IHSAN KPDN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Satu sindiket penyelewengan gas petroleum cecair (LPG) atau decanting berjaya ditumpaskan selepas serbuan dilakukan ke atas sebuah premis tanpa nama di Kampung Pantai, Tanjung Sepat, Selangor pada 5 Julai lalu.

Timbalan Pengarah Pengut Kuasa (Operasi), Shamsul Nizam Khalil berkata, beberapa tong gas kosong dan berisi pelbagai jenama berkapasiti 14kg dan 50kg ditemui melibatkan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM94,479.40.

Berdasarkan risikan selama sebulan oleh pasukan penguat kuasa, beliau berkata, tiada inidividu ditemui semasa serbuan dan pihaknya merampas kenderaan jenis lori tiga tan, alat timbang, hos penyambung serta beberapa dokumen perniagaan lain disita bagi tujuan siasatan.

“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas premis tersebut, beberapa peralatan ditemukan yang dipercayai digunakan dalam aktiviti pemindahan gas LPG daripada tong LPG berkapasiti 14kg bersubsidi kepada tong LPG berkapasiti 50kg.

“LPG 50kg itu seterusnya akan dijual kepada pihak industri dengan harga yang lebih rendah berbanding harga sebenar mengikut pasaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Shamsul Nizam berkata, modus operandi sindiket ini adalah dengan membeli LPG 14kg bersubsidi terus daripada lori-lori penghantaran LPG di sekitar daerah Sepang dan Banting.

Katanya, LPG bersubsidi tersebut kemudiannya akan dibawa ke stor haram terbabit seterusnya akan dipindahkan ke tong LPG 50kg untuk kegunaan industri.

“Kertas siasatan dibuka dan siasatan lanjut ke atas kes ini dibuat di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 bagi mengenal pasti individu atau syarikat yang terlibat dalam aktiviti ini serta mengenal pasti rantaian pengedaran LPG terbabit.

“KPDN ingin memberi amaran keras terhadap mana-mana individu atau syarikat yang berkaitan agar sentiasa mematuhi perundangan yang telah ditetapkan,” katanya.

Beliau menegaskan, mana-mana orang yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan di bawah AKB 1961 dan jika disabitkan boleh didenda tidak lebih RM1 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Manakala bagi syarikat, sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2 juta, dan bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta.

“Selain itu, syarikat ini juga akan disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) (Akta 613).

“Ia melibatkan kesalahan pengubahan wang haram bagi tujuan mengesan, membeku, menyita serta sehingga ke peringkat perlucutanhak ke atas apa-apa hasil pendapatan atau harta yang dijana daripada aktiviti haram penyelewengan berkaitan LPG,” katanya.

habis

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya