Sifat keibuan Fadilah Mansor - Utusan Malaysia

Sifat keibuan Fadilah Mansor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LEBIH tiga dekad anak seni ini menceburi bidang lakonan. Watak keibuan begitu sebati dengan dirinya.

Bagaimana lakonan seorang ibu penyayang yang dipersembahkan begitulah karakter sebenar Fadilah Mansor dalam kehidupan seharian.

Tutur katanya, penuh lemah-lembut dan tersusun. Walaupun tidak dapat bersemuka secara langsung, namun melalui panggilan telefon, jiwa keibuannya begitu terserlah.

Lantas soalan pertama diajukan bagaimana Fadilah, 64, boleh menceburi bidang seni sehingga mampu bertahan sehingga hari ini.

“Sejak sekolah memang sudah minat berlakon. Selepas tingkatan lima, saya menyertai teater dan berjaya mewakili Melaka sehingga peringkat kebangsaan.

“Daripada situ dapat anugerah pelakon wanita terbaik naskhah berjudul Maskonah. Sejak itu, nama mula dikenali dan bergiat aktif dalam lakonan,” katanya memulakan bicara.

Fadilah yang berasal dari Kuala Klawang, Negeri Sembilan, berkata, dia kemudian berhijrah ke Kuala Lumpur bersama kakaknya, Faridah Mansor.

Sejurus tiba di ibu kota, katanya, dia bukan terus menerima tawaran lakonan, sebaliknya menyertai kursus lakonan bersama Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) terlebih dahulu.

“Masa itu ada rumah Seniman di Jalan Yap Kwan Seng dan saya tinggal di sana selepas dihantar oleh kakak dan rakannya, Maria Arshad.

“Semasa menyertai Seniman baru saya kenal dengan arwah Aziz Sattar, Kartina Aziz dan pelakon lain.

“Saya bermula dari bawah, pernah jaga konti dan kerja-kerja di belakang tabir. Perlahan-lahan baru dapat watak ekstra dan berlakon drama sehingga hari ini,” terangnya.

PERNAH JADI JAHAT

Fadilah berkata, drama pertama yang dibintanginya berjudul Sebuah Kampung di Kaki Bukit arahan sutradara, arwah Johari Ibrahim.

Ketika itu, katanya, dia baru berusia 28 tahun menyertai naskhah yang diterbitkan oleh RTM.

“Apabila ditawarkan berlakon, saya akan cuba buat sehabis baik dan menghayati sepenuhnya.

“Saya ini bukan belajar berlakon secara formal dari mana-mana institusi tetapi lebih banyak belajar daripada lem dan drama yang saya tonton di TV. Daripada situ saya cuba belajar,” kongsinya.

Membintangi lebih 50 drama, tele lem dan lem meletakkan Fadilah pada kelas yang tersendiri. Ditebak naskhah paling berbekas di ingatan, katanya, tiada mana-mana naskhah yang istimewa kerana semuanya adalah sama buat dirinya.

“Semua jadi ingatan. Tiada yang beza. Setiap karakter yang diberi akan dibuat dengan sebaikbaiknya,” katanya.

Cuba lari daripada watak stereotaip seorang ibu yang penyayang, baik hati dan lemah-lembut, Fadilah berkata, dia bersyukur kerana pernah diberi peluang membawakan watak antagonis.

Menerusi drama Sabarlah Duhai Hati yang pernah disiarkan di TV3 pada 2021, Fadilah diberikan kepercayaan oleh penerbit dan pengarah sehingga tercalon sebagai Pelakon Pembantu Wanita Terbaik dalam Anugerah Skrin.

“Suka dapat watak jahat dan saya juga bagi pandangan masa itu. Saya hendak lari daripada kebiasaan watak jahat. Asal jahat mesti marah, menjerit dan menengking.

“Macam tak logik pula semua keadaan perlu begitu. Jadi, bagi menampilkan watak antagonis itu saya lebih banyak bermain bahasa tubuh seperti jelingan mata, gerakan badan serta sindiran,” katanya.

ASAL USUL

Anak keempat daripada enam beradik ini berkata, dia mewarisi bakat seni daripada ayahnya yang aktif dengan aktiviti berzanji dan marhaban di kampung.

Katanya, ayahnya yang berkhidmat sebagai anggota polis juga kerap merantau ke negeri lain atas tuntutan kerja.

“Kakak pula pernah berlakon dan menyanyi. Jadi, ada juga darah seni daripada keluarga cuma bidang yang berbeza.

“Kakak adalah individu bertanggungjawab membawa saya ke dalam bidang ini,” katanya yang dilahirkan di Johor.

Fadilah pernah mendirikan rumah tangga dengan Presiden Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Allahyarham Ahmad Ibrahim yang lebih dikenali sebagai Mat London, sebelum bercerai pada 2012.

Hasil perkongsian hidup, pasangan itu dikurniakan dua anak iaitu Alia Farhani dan Faeesal Asuwat.

Fadilah kemudian bernikah dengan penyanyi pop yeh yeh era 60-an, Datuk A. Rahman Hassan pada 25 Disember 2014.

Rumah tangga Fadilah diuji dengan pemergian suami pada 13 Jun 2019, selepas arwah menghembuskan nafas terakhir akibat jangkitan kuman pada paru-paru di Hospital Ampang ketika usia 73 tahun.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya