KUALA LUMPUR: Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar berpandangan, banyak pihak khususnya pemimpin politik di negara ini sama ada kerajaan atau pembangkang yang masih terperangkap dengan corak pemikiran lama bahawa akhbar menyokong adalah ‘kawan sementara’ yang kritikal dan mempunyai agenda tersendiri.
Memberi contoh, jika sesebuah parti politik menjadi pembangkang, beliau berkata, sikap kritikal media dalam mengulas atau melaporkan sesuatu isu dianggap baik dan dipuji.
Bagaimanapun, katanya, sekiranya parti politik itu berkuasa dan menjadi kerajaan selepas pilihan raya, media atau syarikat akhbar itu yang pernah dianggap kawan disifatkan sebagai anti pemerintah jika terdapat laporan tidak selari dengan pendapat mereka.
Mengulas lanjut, katanya, pemimpin politik dan semua pihak tidak boleh kembali ke era yang menyaksikan penguasaan pemerintah sepenuhnya ke atas media kerana zaman itu telah berakhir.
“Hal ini lebih lantang berkumandang menjelang pilihan raya dan pilihan raya negeri (PRN) kali ini tidak terkecuali. Hakikatnya, sewaktu menjadi pembangkang sikap kritikal media dianggap baik dan dipuji, tetapi apabila berkuasa, akhbar yang sama, dianggap anti pemerintah.
“Kita hidup dalam era yang berbeza sama sekali dan dalam era internet yang mana pengaruh media sosial begitu menonjol. Oleh itu, semua pihak harus menerima hakikat yang media harus bebas dan terbuka.
“Media bukan corong propaganda pemerintah dan bukan lidah rasmi pembangkang. Media yang bebas merupakan prasyarat demokrasi yang sihat dan berfungsi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menyatakan penghargaan susulan kenyataan dikeluarkan oleh Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Zamri Rambli, bahawa tidak mudah menjadi akhbar neutral di Malaysia.
Kenyataan itu dikeluarkan menerusi surat terbuka yang diterbitkan dalam akhbar berkenaan kepada semua peringkat rakyat dan pemimpin negara ini yang mencintai negara serta memperjuang kebebasan media.
Dalam surat itu, kata Zamri, akhbar itu menerima serangan bertalu-talu daripada segelintir pemimpin, penyokong dan juga laskar siber parti politik dan didakwa sebagai ‘penyokong’ parti politik tertentu.
Dalam pada itu, Johan berkata, sejak 2018 yang mana ketika itu Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), negara menyaksikan kebebasan media baharu yang memberangsangkan.
“Dunia media lebih bersemangat dan bersemarak dengan keterbukaan itu. Sejak mengambil pemerintahan (di bawah Kerajaan Perpaduan), Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjanjikan kebebasan untuk para wartawan beroperasi dalam ekosistem yang segar dan kondusif.
“Kita melihat bagaimana indeks kebebasan media telah menunjukkan peningkatan positif bagi negara kita. Hal ini harus dipertahan.
“Namun demikian, pengamal media harus juga sedar, kebebasan media harus datang dengan tanggungjawab. Selain menjadi mata dan telinga rakyat dalam memastikan keadilan, mengelakkan salah laku dan rasuah, para wartawan juga harus sentiasa bertindak secara profesional dan bertanggungjawab,” katanya. – UTUSAN