Serah ikan asing kepada Perikanan - Utusan Malaysia

Serah ikan asing kepada Perikanan

Ikan asing
NORAISYAH Abu Bakar melepaskan benih ikan asli pada Program Pelepasan Benih Ikan Asli dekat Teluk Datuk di Kuala Langat, Selangor, hari ini. - UTUSAN / ABDUL RAZAK IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT: Jabatan Perikanan Malaysia (Jabatan Perikanan) Selangor menasihatkan pemilik ikan asing yang tidak berasal dari ekosistem negara ini seperti keli afrika, arapaima dan sebagainya tidak melepaskannya di sungai atau perairan tempatan.

Sebaliknya spesis ikan sedemikian perlu diserahkan kepada Jabatan Perikanan jika pemiliknya enggan membelanya lagi.

Pengarah Jabatan Perikanan Seangor, Noraisyah Abu Bakar berkata , ikan asing seperti spesis tersebut tidak sepatutnya berada di dalam sungai di negeri ini kerana ia bersifat pemangsa.

“Kebiasaannya ikan asing seperti arapaima dipelihara sebagai haiwan kesayangan. Bila ia semakin besar tuannya tidak sampai hati untuk melupuskan dengan menamatkan riwayat ikan tersebut sebaliknya  membuangnya ke sungai.

“Ini menyebabkan ikan-ikan sungai dan anak udang galah semakin berkurang kerana menjadi makanan ikan  tersebut yang semakin membiak di dalam sungai kita. Keadaan ini memberi kesan kepada sumber ekonomi nelayan darat,” katanya ketika ditemui pada Program Pelepasan Benih Ikan Asli, hari ini.

Beliau menambah, kesemua ikan asing tersebut boleh diberikan kepada Jabatan Perikanan yang terdekat sebelum ia diserahkan kepada pusat penyelidikan perikanan di Batu Maung, Pulau Pinang untuk tujuan akademik dan pameran.

Terdahulu Noraisyah memkalumkan, sebanyak 30,000 ekor anak ikan baung dilepaskan ke Sungai Langat dan ia bakal memberi manfaat kepada nelayan darat sekitar daerah tersebut.

“Selain Kuala Langat kita turut melepaskan 10,000 anak ikan baung hari ini di Kuala Selangor dan Sabak Bernam.

“Sejak 2018 hingga tahun lalu sebanyak 10.8 juta anak ikan terdiri daripada ikan asli negara ini seperti lampam, terbul, baung,patin termasuk udang galah telah dilepaskan ke dalam sungai seluruh negeri ini,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya