GEORGE TOWN: Semua istiadat dan majlis-majlis rasmi sempena sambutan hari ulang tahun ke-74 Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak telah ditangguhkan ke Oktober depan atau ke satu tarikh yang akan diumumkan kelak.
Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Datuk Law Choo Kiang berkata, penangguhan itu susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-14 yang telah diumumkan pada 28 Jun lalu.
”Bagaimanapun, tarikh 8 Julai ini telah ditetapkan dan diisytiharkan sebagai hari kelepasan am sempena sambutan ulang tahun Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang,” katanya di sini hari ini.
Sebelum ini, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow memaklumkan, DUN Pulau Pinang dibubarkan pada 28 Jun bagi membolehkan Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan.
Pulau Pinang mempunyai 40 kerusi DUN yang akan dipertandingkan pada PRN yang akan diadakan tidak lama lagi.
Enam negeri akan mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) adalah Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini juga berpendapat PRN di enam negeri itu perlu dijalankan serentak seperti yang dicadangkan beberapa pihak sebelum ini. – UTUSAN