Seludup migran: Polis tahan ahli geng Bang Sun, Along Lubuk - Utusan Malaysia

Seludup migran: Polis tahan ahli geng Bang Sun, Along Lubuk

MOHD. Shokri Abdullah (dua dari kanan) menunjukkan antara barang rampasan menerusi penahanan suspek yang dipercayai terlibat dengan sindiket dikenali sebagai Bang Sun dan Along Lubuk sewaktu sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar, Perlis hari ini. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Polis berjaya menumpaskan cubaan dua kumpulan sindiket dikenali sebagai Bang Sun dan Along Lubuk bagi membawa masuk migran ke negara ini dalam dua serbuan berbeza sekitar kawasan Padang Besar dan Wang Kelian.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd. Shokri Abdullah berkata, pada Jumaat lalu, Pasukan Gerakan Am (PGA) telah menahan sebuah kereta jenis Honda Civic FD dan Proton Persona bersama sebuah motosikal jenis EX5 sewaktu melakukan tugasan rondaan di Jalan Kubang Menerong, Titi Tinggi, di sini.

Beliau berkata, menerusi pemeriksaan mendapati kereta Honda Civic FD itu dipandu oleh seorang lelaki warga tempatan, malah bahagian tempat duduk penumpang di depan dan belakang juga didapati kosong.

“Namun pemeriksaan lanjut di bonet kereta itu telah membawa kepada penemuan seorang lelaki warga asing yang dipercayai cuba di bawa masuk ke negara ini.

“Pemeriksaan lanjut ke atas kereta Proton Persona itu turut membawa kepada penemuan lapan orang lelaki disyaki warga asing di bahagian tempat duduk hadapan dan belakang,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Shokri berkata, suspek pemandu lelaki berusia 41 tahun itu dipercayai terlibat dengan sindiket Bang Sun dan didapati mempunyai beberapa rekod lampau berkaitan kes jenayah dan dadah.

Katanya, suspek ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) manakala kelapan-lapan lelaki warga asing berusia lingkungan 21 hingga 46 tahun itu ditahan di bawah bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 Pindaan 2002.

“Sewaktu pemeriksaan, pemandu Proton Persona itu juga berjaya meloloskan diri bagaimanapun kita telah dapat kenal pasti identitinya dan siasatan masih diteruskan.

“Sindiket ini juga menggunakan laluan tikus dan mengenakan bayaran RM7,000 bagi seorang warga asing di mana ketua yang membawa mereka juga akan dibayar RM200 untuk seorang pendatang asing tanpa izin (PATI),” katanya.

Sementara itu, dalam kes berlainan, Mohd Shokri berkata, polis berjaya menahan seorang lelaki warga tempatan bersama dua lelaki dan enam perempuan warga asing menerusi Ops Pintas Kayang di kawasan semak berhampiran kawasan View Point, Wang Kelian pada Ahad lalu.

Katanya, hasil soal siasat dilakukan, pihaknya juga melakukan tangkapan susulan pada Isnin lalu ke atas dua suspek warga tempatan di sebuah inap desa sekitar Padang Besar.

“Suspek pertama yang ditahan bersama warga asing itu berperanan sebagai penunjuk arah manakala dua suspek lagi yang ditahan dalam tangkapan susulan itu pula berperanan sebagai mastermind dan transporter.

“Mereka ini dipercayai terlibat dalam geng Along Lubuk dan mengenakan bayaran RM12,000 buat seorang PATI yang ingin ke negara ini dengan menggunakan laluan tikus,” katanya.

Tambahnya, semua suspek itu ditahan selama 28 hari di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) manakala PATI terlibat ditahan bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 Pindaan 2002.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya