Selesai isu laungan azan cara baik, tidak perlu panjangkan isu - Mufti Pulau Pinang - Utusan Malaysia

Selesai isu laungan azan cara baik, tidak perlu panjangkan isu – Mufti Pulau Pinang

WAN SALIM WAN MOHD. NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Insiden membabitkan laungan azan di masjid kawasan Sungai Puyu, Butterworth dekat sini, tidak sepatutnya berlaku sekiranya semua pihak mematuhi keputusan yang telah dibuat oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor berkata, ini kerana keputusan yang dibuat sejak 2010 itu melarang penggunaan pembesar suara luar masjid dan surau kecuali untuk azan dan iqamah.

”Saya difahamkan pihak masjid Sungai Puyu terlupa menutup pembesar luar sewaktu mendirikan solat Subuh dan ketika kuliah disampaikan selepas itu.

”Diharap kekecohan ini tidak dipanjangkan dan dapat diselesaikan dengan baik dan saling bertolak ansur antara semua pihak terbabit,” katanya di sini hari ini.

Polis sebelum ini memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang cuba mensensasikan atau membuat provokasi berhubung isu laungan azan di masjid kawasan Sungai Puyu, Butterworth.

Pemangku Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Superintenden Siti Nor Salawati Saad berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang sengaja mencetuskan kemarahan hingga menimbulkan isu perkauman atau kegusaran awan.

Pada 28 Jun lalu, satu laporan polis telah dibuat oleh individu berkaitan tindakan seorang lelaki warga tempatan yang tidak dikenali meminta untuk memperlahankan bunyi azan kerana mendakwa terlalu kuat hingga mengganggu penduduk sekitar.

Menurut Wan Salim, beliau khuatir sekiranya ada pihak tertentu sengaja menimbulkan semula isu tersebut untuk meraih keuntungan politik murahan.

”Saya menasihati semua pihak di negeri ini sama ada masyarakat Islam atau bukan Islam supaya tidak mudah terperangkap dalam sentimen perkauman dan agama sehingga mengeruhkan keharmonian dalam hubungan sesama masyarakat berbilang kaum di negara ini.

”Kita perlu sentiasa ingat keamanan adalah lebih perlu dipelihara dan diutamakan daripada memperoleh kepentingan politik yang sementara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya