Selangor kekalkan caj plastik 20 sen - Utusan Malaysia

Selangor kekalkan caj plastik 20 sen

Plastik
HEE Loy Sian ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Geran Kecil Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Selangor 2023 di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / ABDUL RAZAK IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor mengekalkan caj 20 sen bagi setiap beg plastik dalam usaha menggalakkan orang ramai menggunakan beg sendiri bagi membungkus barangan dan mengurangkan penggunaan bahan tidak terbiodegradasi.

Bagaimanapun, pelaksanaan caj tersebut tidak menghalang hasrat untuk menguatkuasakan larangan sepenuhnya penggunaan beg plastik pada 2025.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan dan Alam Sekitar, Hee Loy Sian, langkah tersebut diambil untuk memastikan larangan secara menyeluruh beg plastik nanti tidak akan membebankan rakyat.

“Kita masih mencari bahan gantian yang lebih kurang sama dengan beg plastik yang mana sasaran kita adalah jika kita mahu melaksanakan larangan sepenuhnya penggunaan beg plastik pada 2025, ia mesti ada bahan gantian.

“Kita kini dalam kajian untuk memperkenalkan beg terbiodegradasi bagaimanapun, ia masih dalam peringkat perbincangan dan keputusan belum dibuat,” katanya. kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Geran Kecil Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Selangor 2023, hari ini.

Beliau menambah, Selangor merekodkan kutipan berjumlah RM26.4 juta bagi caj beg plastik setakat bulan Jun dan dana tersebut digunakan bagi penganjuran program kesedaran alam sekitar.

Dalam pada itu, Loy Sian turut memaklumkan kerajaan negeri menyasarkan pembinaan 1,000 stesen pengecas kereta elektrik bagi kemudahan pengguna-pengguna kenderaan tersebut.

Beliau menjelaskan, pelaburan Tesla di Cyberjaya bakal meningkatkan penggunaan kereta EV di seluruh negara khususnya di negeri ini.

“Setakat ini kita memiliki 102 stesen pengecas EV di seluruh negeri. Ini bermakna kita ada kira-kira 900 stesen untuk dibina tahun ini.

“Stesen pengecas EV tersebut terdapat di kesemua pihak berkuasa tempatan (PBT). Paling banyak 29 stesen caj semula EV di Majlis Perbandaran Sepang (MPS),” ujarnya.

Katanya lagi, pembinaan 1,000 stesen pengecas elektrik dan kewujudan ibu pejabat Tesla di negara ini akan menggalakkan lebih ramai pengguna menggunakan kenderaan mesra alam itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya