SHAH ALAM: Sebanyak 988 sekolah termasuk jenis kebangsaan (SJK), mubaligh dan swasta menerima peruntukan daripada kerajaan negeri dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM26.5 juta.
Peruntukan tersebut disifatkan sebagai tertinggi pernah diberikan oleh kerajaan Selangor dalam sektor pendidikan negeri.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, peruntukan tersebut diberi bagi memastikan pengurusan sekolah dapat menyediakan fasiliti terbaik untuk guru dan murid menjalani sesi pembelajaran.
“Kita tidak pernah gagal menyumbang kepada sekolah-sekolah di Selangor cumanya ini kali pertama kita beri peruntukan kepada 988 buah sekolah. Jumlah keseluruhan kerajaan negeri sumbangkan sejak tahun 2009 berjumlah RM260 juta.
“Kerajaan Selangor sentiasa menitikberatkan aspek pendidikan kerana ia mampu mengubah nasib seseorang individu,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Program Bantuan Sekolah Negeri Selangor 2023, hari ini.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan selain peruntukan tersebut, kerajaan negeri turut memperkenalkan pelbagai program untuk pelajar sekolah di Selangor bagi mendapatkan pendidikan sewajarnya.
“Seperti contoh, program Tuisyen Rakyat Selangor yang mana sebanyak 65,000 pelajar sekolah kini mendapat manfaat, iaitu mendapat pendidikan tambahan daripada apa yang mereka belajar dari sekolah.
“Tidak cukup dengan itu, kita perkenalkan program Selangor Bitara yang mana kerajaan negeri menaja pembelajaran pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ke universiti terkemuka dunia,” ujarnya.
Katanya lagi, kerajaan negeri turut memandang serius masalah penguasaan terhadap subjek Sains dan Matematik apabila jumlah pelajar yang mendapat keputusan cemerlang turun saban tahun, dengan akan merangka program khas bagi membantu mereka. – UTUSAN