Sektor pelancongan di Kota Siputeh berpotensi untuk dibangunkan - Utusan Malaysia

Sektor pelancongan di Kota Siputeh berpotensi untuk dibangunkan

SALMEE Said (dua dari kanan) membantu mengacau bubur Asyura bersama penduduk sewaktu turun padang di Kampung Padang Gelanggang, Sanglang, Kedah. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERLUN: Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Siputeh amat berpotensi untuk dibangunkan dalam sektor pelancongan bagi menarik lebih ramai pengunjung luar.

Terdapat beberapa kawasan di DUN itu antaranya seperti Bukit Kodiang dan Bukit Kerbau dilihat amat berpotensi untuk dibangunkan dalam merancakkan lagi sektor pelancongan selepas ini.

Calon Pakatan Harapan (PH) DUN Kota Siputeh, Dr Salmee Said berkata, lokasi-lokasi seumpama itu menyajikan pemandangan indah dan perlu dibangunkan sekali gus turut membantu dalam menyediakan peluang pekerjaan buat anak muda di kawasan berkenaan.

“Saya memang dapat lihat aspek pelancongan ini berpotensi untuk dibangunkan namun kerajaan negeri sebelum ini tidak mencuba untuk melaksanakan perkara tersebut.

“Namun jika ada penduduk kampung yang cuba bangunkan produk pelancongan di sini, saya juga boleh bantu mereka dengan bawa perkara ini ke peringkat kementerian dan sebagainya,” katanya sewaktu turun padang di Kampung Padang Gelanggang, Sanglang, di sini, hari ini.

Pada PRN kali ini, Salmee bakal berdepan pertembungan tiga penjuru membabitkan calon Perikatan Nasional (PN), Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir dan calon Bebas, Abdul Ramli.

Dalam pada itu, Salmee berkata, sekiranya dipilih sekali lagi sebagai wakil rakyat kawasan itu, beliau akan meneruskan perkhidmatan buat masyarakat dan menyelesaikan permohonan-permohonan dikemukakan penduduk setempat.

“Sebenarnya banyak lagi permohonan bantuan dibuat oleh rakyat dan jika menang serta mendapat peruntukan, saya akan bantu bagi melihat balik sebarang masalah dihadapi mereka,” katanya.

Di samping itu, Salmee berkata, pihaknya juga turut mendapat kerjasama baik daripada jentera Barisan Nasional (BN) dan UMNO bagi membantu dalam kempen-kempen PRN ini.

Tambahnya, buat masa ini, beliau juga telah mengadakan pertemuan bersama ketua-ketua cawangan dan ketua wanita cawangan di kawasan berkenaan.

“Saya juga akan menghubungi mereka jika turun ke kawasan tertentu untuk bergerak secara bersama sepanjang dua minggu kempen ini,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya