ALOR SETAR: Langkah India menghentikan eksport beras putih bermula minggu lepas tidak memberi impak kepada Malaysia yang hanya mengimport beras basmathi dari negara itu.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, masalah bekalan itu tidak berlaku kerana Malaysia masih mengimport beras dari Thailand dan Vietnam.
“Setelah India mula menyekat eksport beras mereka jadi kita berharap Thailand dan Vietnam akan terus mengeksport beras kepada kita,” katanya dalam sidang akhbar Majlis Penyampaian Bantuan Wang Ihsan dan Bantuan Asas Kepada Pesawah Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) di PPK MADA C-III Tajar di sini hari ini.
Mohamad mengulas tentang tindakan India yang mula menghentikan eksport beras putihnya kecuali basmathi minggu lepas ekoran bencana alam di negara tersebut termasuk kenaikan harga barang itu di negara tersebut.
Mengulas lanjut, kata beliau, penanaman padi lima musim dua tahun diyakini mampu menghapuskan kebergantungan Malaysia kepada beras import daripada negara terlibat.
Katanya, atas faktor keterjaminan makanan ruji itu kerajaan bersedia untuk membelanjakan sebanyak RM3 bilion bagi memperbaiki infrastruktur di kawasan MADA sebelum diperluaskan ke Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA).
“Masalah padi beras ini ia akan jadi serius bila negara yang kita import itu sekat atau hentikan eksport ke negara kita kerana di sana mereka turut mengalami masalah bekalan makanan itu.
“Jadi kita mesti buat persediaan yang cepat dan segera. Baiki soal baja, penanaman lima kali dua tahun dan bawa cara penanaman Sekinchan, Selangor untuk jangka masa panjang. Dalam tempoh empat hingga enam tahun nanti kita sudah capai kadar kecukupan beras,” katanya.
Mengulas lanjut kata beliau, setakat ini MADA mengenal pasti kawasan seluas 213 hektar daripada 1,200 hektar sawah yang terlibat bagi memulakan projek penanaman padi lima kali dua tahun itu.
“Kalau di sini (kawasan MADA) siap kita akan ke Kelantan pula supaya tanah yang luas ini juga boleh kita praktiskan tanaman padi lima musim. Jadi dengan hasil padi yang tinggi kita boleh capai kecukupan beras bagi negara kita. Tumpuan sekarang adalah usaha agensi terlibat supaya memotivasikan petani ini agar mereka faham,” jelasnya.
Sementara itu menyentuh tentang Bantuan Khas Padiberas Nasional Berhad (Bernas) kata Mohamad, bantuan tersebut masih disalurkan kepada pesawah di negeri ini secara berperingkat. –UTUSAN