KEPALA BATAS: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bersedia menawarkan khidmat kaunseling kepada keluarga kanak-kanak berusia sembilan tahun yang maut akibat dicekik abang kandungnya dalam kejadian di Kampung Bukit Piatu, Melaka, tengah hari semalam.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pihaknya mempunyai kaunselor yang bertauliah untuk tujuan itu sekiranya khidmat tersebut diperlukan.
Nancy bagaimanapun berkata, terpulang kepada keluarga berkenaan sama ada mahu menerima perkhidmatan yang ditawarkan itu atau sebaliknya atau menghubungi sendiri Talian Kasih KPWKM iaitu di nombor 15999.
“Kalau mengikut ‘bacaan’ kita, mereka mungkin menggunakan cara yang lain (selain kaunseling). Ikut kepercayaan masing-masinglah. Kita tak dapat pergi ke setiap rumah (yang bermasalah) dan kata ‘saya nak bagi kaunseling’.
“Jadi, kita cuma tawarkan perkhidmatan kita dan terpulang kepada mereka (untuk menerima atau tidak),” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Program Jerayawara Kasih KPWKM @Advokasi Antigangguan Seksual di Dewan Milenium, di sini hari ini.
Nancy mengulas mengenai kejadian menyayat hati itu yang hanya diketahui oleh ibu mereka menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di rumah keluarga berkenaan.
Dalam pada itu, menurut polis, suspek yang direman mulai hari ini bagaimanapun dikesan tidak memiliki sebarang rekod disiplin ketika di sekolah. – UTUSAN