PUTRAJAYA: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan belum menerima apa-apa notis tuntutan daripada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Beliau berkata, beliau juga sudah bersedia untuk dihubungi bila-bila masa berhubung tuntutan berkenaan.
“Tidak ada, saya tidak ada terima apa-apa. Dia (Sanusi) dekat Kedah, saya dekat sini. Bezanya saya boleh dihubungi bila-bila masa dan saya tidak elak panggilan. Itu saja beza.
“Saya tidak terima apa-apa lagi setakat hari ini, semalam saya sepanjang hari di Kedah, malam ini di Kedah lagi, jadi saya boleh didekati dengan mudah, tak perlu didekati pukul 3 pagi,” katanya dalam sidang akhbar selepas hadir program Sambutan Hari Imigresen 2023 di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Muhammad Sanusi yang memaklumkan pihaknya sudah menghantar notis tuntutan kepada Saifuddin Nasution kerana didakwa memfitnahnya berhubung dua isu berasingan.
Difahamkan, surat tuntutan itu berkaitan dakwaan Saifuddin bahawa Muhammad Sanusi mencuri unsur nadir bumi (REE) di Kedah dan menggunakan peruntukan Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) sebanyak RM1.6 bilion untuk tujuan lain.
Semalam, Muhammad Sanusi memaklumkan, peguamnya sudah e-mel surat tuntutan itu kepada Saifuddin dan akan menyampaikan notis tuntutan itu secara tangan hari ini.
Ahad lalu, media melaporkan Muhammad Sanusi mencabar akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Saifuddin Nasution berhubung isu dana MARRIS dan REE.
Mengulas lanjut isu REE di Kedah, Saifuddin berkata, beliau turut mempersol tindakan Muhammad Sanusi kerana sehingga kini belum menjelaskan situasi sebenar kepada rakyat termasuk pengambilan kumpulan pekerja dari China.
“Saya pelik, Sanusi seorang pemimpin yang pantas jawab apa jua persoalan tapi kes ini dia diam sudah 72 jam (sejak didedahkan).
“Kakitangan Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah dari China yang memegang pas lawatan ikhtisas telah ditangkap, kenapa Sanusi tidak cerita kepada rakyat apa jadi kepada pekerja itu.
“Pekerja itu sudah terminate (buang kerja) ke? Apa status sekarang? Dia (Sanusi) kena jawab sebab dia yang minta surat bawa masuk pekerja yang bertaraf staf pengurusan profesional,” katanya.
Katanya, jika diambil sebagai pekerja profesional, pekerja itu tidak sepatutnya ditangkap kerana perbuatan mencuri lebih kurang 380 kampit mineral REE.
“Saya difahamkan, tujuan pekerja itu dibawa masuk untuk bantu kerja eksplorasi tapi kalau dah 380 kampit, itu bukan eksplorasi tapi itu curi,” katanya. – UTUSAN