KUALA LUMPUR: “Saya tak mahu biadab dengan orang yang lebih dewasa, saya sayang dia sebagai seorang abang, pelopor muzik rock di Malaysia dan tiada penyanyi lebih layak untuk memegang gelaran nombor satu seperti dirinya.”
Demikian pengakuan jujur vokalis kumpulan Wings, Datuk Awie yang sanggup membuang kepentingan peribadi demi tujuan untuk saling bermaafan dengan Datuk Amy Search.
Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman berkata, faktor umur yang semakin bertambah menyebabkan dia tidak mahu lagi bermusuhan dengan mana-mana pihak dan enggan memanjangkan persengketaan.
“Saya pun tak nak fikir, makin hari kita makin tua. Kubur pun memanggil-manggil. Cukuplah kerana dunia ini juga semakin sempit.
“Saya banyak berterima kasih kepada individu yang mengaturkan pertemuan itu. Mereka juga menjadi asbab untuk kami berbaik semula,” katanya ketika ditemui selepas menjayakan persembahan di pentas NusaFest, Bandar Malaysia, Sungai Besi, baru-baru ini.
Terdahulu, hubungan kedua-dua penyanyi legenda rock itu dikatakan dingin selepas Amy mengakui terluka dengan komen Awie yang mendakwanya mengabaikan pemain dram Search, arwah Yazit ketika sakit. Pertemuan Amy dan Awie dikongsikan menerusi hantaran dalam Instagram, baru-baru ini.
Mengulas persembahan Wings semasa Nusafest, Awie berkata, dia berpuas hati dengan konsep pentas yang bertaraf antarabangsa, selain sistem bunyi yang baik disediakan oleh Shiraz Projects selaku penganjur.
Katanya, penganjuran konsert seperti itu adalah permulaan yang bagus untuk industri muzik tanah air.
Bagaimanapun, Awie berkata, dia dan ahli kumpulan lain hanya memberikan energi 50 peratus semasa mempersembahkan beberapa lagu termasuk Sejati.
“Kita masih dalam keadaan bersedih (kematian isteri Eddie), jadi bila bersedih sudah tentu energi akan menurun.
“Apapun, kita dapat buang kesedihan sekejap apabila berada di pentas. Sedih berpanjangan juga tidak baik untuk kesihatan. Syukur Alhamdulillah dapat selesaikan kerja ini dengan bagus. Ia satu kepuasan walaupun tak dapat bagi 100 peratus,” katanya.
Selain Search dan Wings, Nusafest juga menggabungkan barisan 24 suara nusantara merentasi tiga negara iaitu Malaysia, Indonesia dan Singapura.
Festival itu dimeriahkan dengan kehadiran kumpulan pemuzik yang terdiri daripada pelbagai genre sama ada rock, ska, rap, grunge dan reggae.
Antara barisan pemuzik yang terlibat adalah Kugiran Masdo, Salammusik, Forceparkbois, Iqbal M., White Percussion Unit, Jemson, Budak Nakal Hujung Simpang, Gerhana Skacinta dan Monoloque.