Saya bukan pelakon 'kayu' - Utusan Malaysia

Saya bukan pelakon ‘kayu’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MASIH ada yang menyifatkan lakonan Aniq Suhair sebagai ‘kayu’ dan kurang memberi impak. Sedangkan anak kelahiran Kajang, Selangor ini sudah muncul dalam lebih 13 buah drama sebelum ini.

Ada juga yang berpandangan pelakon tinggi lampai itu terlalu ‘jambu’ untuk memegang peranan yang lebih matang dan berusia.

Bukan mudah puaskan hati penonton. Aniq atau nama sebenarnya, Muhammad Aniq Suhair Mohd. Salleh mengakui perkara tersebut. 

Baginya, komen negatif yang dibuat untuk menjatuhkan, perlu diabaikan. Manakala, kritikan membina dan yang positif seharusnya diraikan dan diberikan perhatian.

“Saya ambil positif kalau ada yang berpandangan lakonan saya ‘kayu’ dan kurang memberi kesan. Secara tak langsung, komen seperti itu membakar semangat saya untuk memberikan lakonan yang lebih baik di masa akan datang.

“Saya akan muncul dalam lebih banyak drama selepas ini. Jadi, saya akan buktikan saya bukan pelakon kayu seperti yang dianggap sesetengah pihak.

“Mustahil saya dapat puaskan hati semua orang. Saya hanya mampu berikan yang terbaik dan perbaiki kelemahan. Yang paling penting adalah komen positif peminat yang menghargai usaha dan kehadiran saya dalam industri seni,” katanya.

Peserta pertandingan Hero Remaja 2019/2020 memulakan kerjaya sebagai pelakon sewaktu membintangi Kebaya Kasut Kanvas pada tahun 2020. 

Wajah komersial yang dimilikinya membuatkan Aniq semakin mencuri perhatian dan menjadi rebutan sutradara tempatan.

TERLALU ‘JAMBU’ UNTUK WATAK SUAMI?

Aniq menyangkal pandangan segelintir pihak yang berpandangan dia terlalu ‘jambu’ untuk melakonkan watak seorang suami seperti Hayyat yang dibawakannya dalam drama Sekali Lagi Cinta Kembali.

Menurutnya, menjadi atau tidak watak yang dilakonkan bukan ditentukan fizikal pelakon semata-mata, malah kemahiran dan lakonan yang memberangsangkan.

“Saya, sebelum menerima tawaran, akan fikir semasak-masaknya, adakah saya sesuai melakonkan watak seorang suami disebabkan wajah saya yang pada pandangan orang, jambu.

“Tetapi, bila difikir semula, rupa paras bukanlah penentu kepada kesesuaian seseorang pelakon itu membawakan sesebuah watak. 

“Ia sebenarnya berbalik kepada cara lakonan kita. Itu sebenarnya yang akan membina karakter, bukan fizikal semata-mata,” jelasnya.

TAK UBAH CIPTAAN TUHAN

IMPIAN besar anak sulung daripada empat beradik ini adalah untuk beraksi dalam filem lasak yang merupakan genre idamannya sejak dahulu lagi.

Namun, Aniq reda sekiranya wajah jambunya menjadi penghalang untuk dia dipilih sebagai pelakon dalam filem aksi.

“Memang teringin, tapi saya anggap bukan rezeki kalau saya tak penuh kriteria yang sutradara filem aksi mahukan. 

“Saya tak boleh ubah ciptaan Tuhan. Kalau rupa saya begini (jambu), maka ia tetap begini.

“Apa yang boleh saya lakukan adalah polish kemahiran lakonan dan tampilkan kelainan. Saya percaya pada bakat dan kemampuan, rupa bukan sandaran,” kongsinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN