MESKIPUN selesa menguruskan perniagaan minuman sarang burung FG Walet, pelakon dan usahawan, Fouziah Gous, 41, menafikan dia sudah melupakan dunia seni.
Pemilik nama sebenar Nor Fouziah Mohd. Gous ini berkata, keinginan untuk berlakon dan melakukan kerja-kerja pengacaraan masih menebal dalam dirinya.
“Bahkan saya sering muncul di Astro, menjual produk sendiri tiga empat kali seminggu. Saya tak pernah bosan, malah seronok.
“Untuk kembali berlakon mungkin agak susah sebab masa tak berapa mengizinkan.
“Itu tidak bermaksud saya tinggalkan lakonan, cuma mungkin sekarang saya agak memilih tawaran,” katanya ketika ditemui pemberita sempena perasmian restoran Rightside di Mont Kiara, baru-baru ini.
Mengulas lanjut, anak kelahiran Kuala Lumpur mengakui dirinya kini agak selektif dalam memilih tawaran untuk berlakon.
“Semua watak saya dah lakonkan, air mata, teraniaya dan banyak lagi. Kalau pun ada tawaran lagi, biarlah berbaloi untuk saya buat,” ujarnya.
Dalam pada itu, Fouziah menafikan campur tangan suami, Datuk Zhafran Md. Yusof dalam keputusan untuk tidak kembali berlakon buat masa ini.
“Malah sebenarnya dia sangat menggalakkan dan menyokong untuk saya kembali berlakon. Cuma saya yang belum bersedia,” kongsinya.
NIKMAT KERJA KERAS
Pencapaian diraih pelakon ini dalam bidang keusahawanan wajar dijadikan contoh. Namun, Fouziah akui jalannya tidak mudah.
Selepas bertahun-tahun berhempas pulas, hari ini dia merasai kenikmatan kerja kerasnya.
“Banyak yang saya korbankan sebelum keluar dengan produk minuman sarang burung FG Walet yang saya usahakan sejak 2008. Lima tahun pertama, tak ada yang percaya produk saya kerana ia masih baru di pasaran. Pesaing pun tak ramai.
“Perjalanan saya susah. Saya hadir kelas dan buat kaji selidik meskipun orang tak yakin dengan apa yang saya buat, termasuk keluarga saya sendiri. Malah, awal dulu, banyak tawaran lakonan yang saya tolak semata-mata nak fokus perniagaan ini.
“Orang nampak apa yang saya capai, tapi mereka tak melihat apa yang saya lalui,” ujarnya.
Kata Fouziah, kunci kejayaan adalah sabar dan yakin. Tanpa dua perkara itu tidak mungkin dia genggam apa yang dimilikinya hari ini.
“Ramai yang berniaga, ibarat cendawan tumbuh selepas hujan. Tetapi ramai juga yang nak mudah, berniaga ikut trend sebelum hilang entah ke mana. Perniagaan masing-masing, saya tak kata betul atau salah,” kongsinya.