Sawi, ikan kembung, mi jadi pilihan utama rakyat Malaysia

Sawi, ikan kembung, mi jadi pilihan utama rakyat Malaysia

MOHD. UZIR MAHIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sawi, lobak, ubi kentang dan tomato adalah empat sayur utama yang paling popular dibeli rakyat Malaysia berdasarkan Laporan Survei Perbelanjaan Isi Rumah Malaysia 2022.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd. Uzir Mahidin berkata, empat jenis sayur itu mendapat peratusan isi rumah berbelanja tertinggi daripada keseluruhan 166 item sayur yang disenaraikan.

Beliau berkata, berdasarkan kajian, 57.6 peratus isi rumah memilih sawi, diikuti lobak (54.4 peratus), ubi kentang (54.3 peratus) dan tomato (51.2 peratus).

“Selepas ini, jika agensi kerajaan nak tanam apa-apa, kena tengok dapatan ini,” katanya dalam sidang akhbar pada majlis pelancaran Laporan Survei Pendapatan Isi Rumah Malaysia, 2022 di sini hari ini.

Dalam pada itu, katanya, kerajaan juga mesti menjaga bekalan ayam dan itik kerana lebih 80 peratus rakyat Malaysia makan ayam berdasarkan dapatan sama.

Sementara itu, Mohd Uzir berkata, bagi kumpulan ikan segar pula, rakyat Malaysia lebih gemar makan ikan kembung dengan 53.4 peratus diikuti selayang (27.6 peratus), siakap (27.4 peratus) dan cencaru (25.4 peratus).

“Dapatan itu diperoleh daripada keseluruhan 115 item ikan segar yang dijual dipasaran,” katanya.

Selain itu, katanya, rakyat Malaysia juga lebih menggemari pasta dan mi sebagai makanan utama yang dipilih jika makan di luar rumah iaitu 91.2 peratus.

“Makanan lain yang dinikmati di luar rumah ialah teh dengan 85.5 peratus diikuti nasi ayam (83.1 peratus) dan nasi lemak (80.5 peratus),” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Uzir berkata, secara purata, isi rumah di Malaysia berbelanja RM5,150 sebulan pada 2022 iaitu meningkat 3.7 peratus setahun bagi tempoh 2019 hingga 2022.

Katanya, di samping pendapatan yang diterima oleh isi rumah, sebahagian perbelanjaan ini dibiayai oleh penerimaan bukan pendapatan seperti bantuan kerajaan dan pengeluaran khas wang simpanan melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Selain itu, komposisi corak perbelanjaan (66.9 peratus) masih bertumpu kepada empat kumpulan perbelanjaan utama iaitu perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (23.2 peratus); makanan dan minuman bukan alkohol (16.3 peratus); restoran dan hotel (16.1 peratus); dan pengangkutan (11.3 peratus),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya