Sarah Suhairi tak gemar publisiti murahan - Utusan Malaysia

Sarah Suhairi tak gemar publisiti murahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DI KALA rakan di tangga usia sama sedang rancak menikmati ghairah nafsu remaja, penyanyi muda ini sedang berlawan dengan jiwa mudanya sendiri. Dia harus tegar, menjalani kehidupan sebagai seorang anak seni.

Bukan bermaksud dia harus menanam dalam jiwa remajanya, tetapi ada impian yang lebih besar perlu digapai. Lantas, demi merealisasikan cita-citanya, dia perlu sedar, tidak semua jalan yang dipilih itu penuh bunga cinta.

Namun bagi Sarah Suhairi, perjalanan karier sebagai penyanyi sudah bermula ketika dia di usia 16 tahun lagi. Ibarat alah bisa tegal biasa, dia ralit memastikan namanya sentiasa ada dalam radar dunia muzik tempatan.

Dalam pada masa sama juga, dia mengorbankan hidup peribadinya dan menjadi figura umum yang semua sedia maklum, setiap gerak geri boleh mengundang pelbagai persepsi, sama ada positif atau negatif.

“Bagi Sarah pengorbanan untuk dunia seni setakat ini adalah dengan membuka ruang kepada orang awam untuk menilai Sarah melalui media sosial. Sarah sedar tiada lagi istilah private life selepas melibatkan diri di dalam dunia seni.

“Tetapi semua perkara yang Sarah lalui semasa remaja adalah proses untuk menjadi seorang yang lebih matang di masa akan datang. Sarah yakin Pencipta telah menetapkan jalan kehidupan setiap manusia dan semuanya berbeza.

“Ada yang masih belajar, ada yang kahwin dulu, ada yang dah menimang cahaya mata dan ada juga yang masih mencari karier untuk hidup di masa kini,” kata penyanyi berusia 23 tahun itu.
Di kala ini juga, kehadiran pendatang baharu lebih rancak berbanding cendawan tumbuh selepas hujan. Pelbagai platform media sosial memungkin seseorang itu mendapat gelaran ártis’dengan begitu mudah.

Bagaimana pula penyanyi Pedih ini melihat situasi sebegitu? Tidakkah ada rasa gusar atau sengit persaingan sementelah, sekarang ini ramai penyanyi yang hanya popular sementara sahaja.

“Tidak dinafikan, sekarang memang menjadi penyanyi itu mudah. Media sosial, program realiti juga semakin banyak mengemukakan bakat bakat baru. Sejujurnya Sarah sangat gembira.

“Melihat setiap individu yang mempunyai bakat yang unik untuk mewarnai lagi industri seni. Sarah tidak pernah merasa gusar atau takut. Rezeki itu Tuhan tetapkan. Setiap kami juga mempunyai bakat tersendiri.

“Sebab itu, Sarah sentiasa menampilkan kelainan dan keunikan setiap kali hadir dengan karya baharu. Supaya peminat dan pendengar dapat melihat kematangan Sarah dalam industri seni,”kongsinya.

KENALI DENGAN BAKAT, BUKAN KONTROVERSI

BERGERAK seiring masa, ada yang melihat perjalanan karier penyanyi Kau Yang Bertakhta ini masih belum memuncak. Seperti sinarnya masih dihalangi tembok, menyukarkan gerak gempurnya dalam gelanggang seni.

Biarpun gelaran Juara Big Stage musim pertama dalam genggaman, namun itu belum memadai. Dia masih dibayangi ketidakpercayaan dan mungkin dalam bahasa kasarnya, tidak cukup aura.

Sebanyak 12 lagu dipertaruhkan, seharusnya dia sudah selesa dengan kedudukannya tetapi persaingan yang ada membuatkan anak kelahiran Selangor ini perlu lebih bekerja keras untuk kekal bertahan.

“Sehingga ke hari ini Sarah amat bersyukur dengan apa yang Sarah ada dan penglibatan Sarah dalam industri muzik. Sarah tahu, adalah sinar itu cukup terang hingga buat Sarah tersenyum. Namun adakala, awan mendung datang berarak.

“Sudah pasti dengan umur sekarang masih banyak yang perlu dipelajari. Sarah sangat terbuka untuk explore benda-benda baru dalam nyanyian. Sebab itu, saya tidak kisah jika ada yang menegur terutama dalam nyanyian.

“Sarah pun berharap setiap pengalaman yang baru membuat Sarah lebih bijak dalam mengekalkan nama dalam industri. Jika tidak ada pahitnya kegagalan, kita tidak tahu nikmat manisnya kejayaan,”ujarnya.

Ketika ini seperti sudah menjadi resmi industri seni, ramai yang suka menggunakan kontroversi dan sengaja menuai kecaman warganet semata-mata untuk popular. Bagaimana pula dengan Sarah?

Adakah dia sanggup memperjudikan nama baik diri dan keluarga semata-mata untuk memancing perhatian? Memperlekeh setiap usaha yang telah ditambak hanya demi hujan tatapan sementara?

“Orang yang mengenali Sarah mungkin tahu Sarah tidak berapa gemar untuk mencipta kontroversi demi kepentingan sendiri. Untuk mengejar populariti menggunakan publisiti murahan, itu tidak.

“Bagi Sarah biarlah orang mengenali Sarah berdasarkan bakat dan pencapaian rather than gossip yang kemungkinan besar boleh memburukkan nama sendiri malah keluarga,”kongsi penyanyi Bicara Rasa itu.

SINGLE BAHARU, ALBUM

Membuka gelanggang bicara tentang karier se­ninya, terbit relung teruja di mata penyanyi Rise & Fall ini. Bakal melancarkan single baharu hasil karyanya sendiri, Sarah gementar menanti reaksi peminat.

Apatah lagi, ramai juga mengharapkan single seterusnya daripada Sarah adalah lagu bergenre balada. Maka itu, satu ‘beban’ dan pengharapan daripada peminat yang menanti.

“Insya-Allah dalam tahun ini jika berkesempatan akan Sarah lancarkan single terbaru ciptaan Sarah buat pertama kalinya. Sekarang masih dalam proses persiapan menyusun beberapa perkara berkaitan muzik video sebelum dilancarkan.

“Selain single, Sarah juga telah rekod lagu duet baru. Pasangan duet itu? Rahsia. Nanti selepas single baharu dilancarkan, kita akan fokus promosi lagu tersebut dulu.

“Tetapi, pasangan duet Sarah kali ini bukanlah asing kerana dia juga di bawah naungan label yang sama. Siapa? Tunggulah,”ujarnya.

Lantas soalan terarah kepada keinginannya menghasilkan sebuah album penuh. Lebih 10 single sudah diluncurkan, tidakkah Sarah mahu hasilkan album sendiri?

“ Sudah pasti ingin mempunyai album sendiri. Mungkin permulaannya, Sarah akan berbincang bersama muzik label untuk sama sama usahakan sekurang-kurangnya mini album, terlebih dahulu.

“Tetapi Sarah tahu proses untuk merekod album bukanlah perkara mudah kerana banyak faktor yang perlu diambil kira seperti genre yang mahu ditampilkan, main track, komposer, penulis lirik dan banyak lagi.

“Sarah tidaklah terburu-buru. Biarlah perlahan-lahan kayuh, tetapi tiba juga di destinasi. Sarah mahu album ini sebuah hasil karya yang berkualiti dan menjadi kebanggaan sendiri,”katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya