Sanusi perlu taubat nasuha - Ahmad Zahid

Sanusi perlu taubat nasuha – Ahmad Zahid

AHMAD Zahid Hamidi menerima cenderamata daripada Mohamad Sabu pada Majlis Menandatangani MoU antara KEJORA dan MARDI di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor perlu melakukan taubat nasuha kerana menghina Sultan Selangor dalam satu ceramah di Selayang, malam kelmarin.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Muhammad Sanusi juga diingatkan supaya tidak menjadikan semua perkara sebagai bahan kempen yang merosakkan diri sendiri.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, politik bukan bahan lawak atau gurauan dan beliau sendiri tidak akan melayan kempen politik seperti itu.

“Politik ini bukan bahan lawak, bukan bahan untuk bergurau, fakta adalah fakta. Saya tidak perlu berbahas dengan individu yang tidak bijaksana dalam mentafsir antara fakta dan auta.

“Faktanya adalah bagaimana Perikatan Nasional (PN) dititah menghadap, begitu juga Pakatan Harapan (PH) dititah menghadap (Yang di-Pertuan Agong). Selepas itu saya mewakili Barisan Nasional (BN) bersama dua rakan lain serta GRS dan GPS.

“Kalau itu satu tuduhan oleh seorang yang mengetuai kerajaan negeri yang pegangannya adalah Islam, saya harap taubat nasuha hendaklah diutamakan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini

Sebelum ini, Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PN mendakwa, Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya memandai-mandai dan menggunakan titah Agong untuk tubuhkan Kerajaan Perpaduan.

Malah, dalam ceramah sama, Muhammad Sanusi turut menghina Sultan Selangor atas pelantikan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari selain beberapa serangan peribadi terhadap menteri dalam Kerajaan Perpaduan.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, beliau juga sebenarnya tidak perlu menjawab perkara yang sudah menjadi fakta.

“Ia akan jadi satu isu ‘bodoh’ jika saya berbahas dengan orang yang tidak begitu bijaksana dalam mentafsirkan antara fakta dan auta,” katanya.

Selain itu, ditanya mengenai dakwaan beberapa pihak bahawa undi kepada Datuk Seri Najib Razak akan berpindah kepada PN berikutan kekecewaan penyokong terhadap layanan Kerajaan Perpaduan kepada bekas Perdana Menteri itu, Ahmad Zahid berkata, usaha parti tetap terus berjalan.

“Ketika bertemu Najib sebelum ini pun perkara itu dinyatakan kepada saya supaya kita jangan terjebak dengan permainan pihak luar.

“Usaha parti berjalan begitu juga proses keadilan tetap dilakukan. Kita perlu pisahkan antara soal keadilan dan usaha dan ini tidak perlu dijelaskan kepada umum,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya