ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mempunyai hubungan yang rapat dengan Datuk Seri Salahuddin Ayub meskipun mereka berbeza haluan dari segi pegangan politik.
Menurut Muhammad Sanusi, beliau mula bersahabat bersama Salahuddin sejak 1997 selain Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) itu sering bermalam di rumahnya jika ke Sik, dekat sini.
Katanya, beliau menghargai dan berterima kasih kepada usaha-usaha dilakukan oleh Salahuddin yang bekerja keras dalam menangani isu-isu kenaikan harga barang di bawah kementerian berkenaan.
“Saya ucap takziah kepada isteri dan anak-anak beliau, ahli keluarga beliau dan para ahli Parti Amanah Negara (Amanah). Sebagai kawan yang lama, bagi saya Allahyarham seorang yang budiman.
“Apa pun kita cuma hidup di dunia ini sehingga tempohnya sahaja dan apabila sampai masa apa yang Tuhan tentukan akan terjadi, maka terjadilah. Saya bersimpati pada keluarganya dan kebetulan beliau sakit di Kedah ketika melakukan tugasan yang mungkin banyak,” katanya kepada pemberita di lobi Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini malam ini.
Muhammad Sanusi meluangkan kira-kira 30 minit untuk menziarahi Salahuddin yang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSB sebelum Ahli Parlimen Pulai itu disahkan menghembuskan nafas terakhir pada pukul 9.23 malam.
Tambah Muhammad Sanusi, beliau masih mengingati kenangan bersama Salahuddin ketika bersama-sama menaiki bas dari Hentian Puduraya untuk ke Markas Pas Taman Melewar, Gombak.
“Saya biasa naik bas dengannya dan jalan kaki dari Greenwood masuk ke Taman Melewar. Sama-sama tidur di pejabat, banyak kenangan saya dengan saudara Salahuddin.
“Saya amat menghormati beliau. Dia juga seorang kawan yang baik dan memahami. Malah kami juga sama-sama berasal dari keluarga yang bukan orang senang. Dia pun keluarga susah dan biasa naik bas untuk ke mana-mana,” katanya. –UTUSAN