Sanusi didakwa: Saya belum tahu lagi - Ketua Polis Negara

Sanusi didakwa: Saya belum tahu lagi – Ketua Polis Negara

RAZARUDIN HUSAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memberitahu bahawa beliau tidak mendapat maklumat berhubung pendakwaan ke atas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor di mahkamah, esok.

“Saya belum dapat tahu lagi. Yang itu (pendakwaan) belum tahu lagi,” katanya ringkas ketika ditemui pemberita selepas Majlis Interaksi bersama Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, di Parlimen malam ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai laporan media bahawa pemimpin Pas itu akan didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang, Selangor.

Razarudin petang tadi dilaporkan berkata, siasatan isu kes 3R (Institusi Diraja, Agama, Bangsa) membabitkan Muhammad Sanusi sudah hampir selesai, manakala kertas siasatan itu sudah disiapkan lebih 90 peratus.

Media hari ini juga melaporkan, berdasarkan maklumat laman sesawang mahkamah yang memaparkan nama individu bernama ‘Muhammad Sanusi Md. Nor’ beserta prosiding pendakwaan akan dilakukan di hadapan Hakim Nor Rajiah Mat Zin pada pukul 9 pagi.

Ketika ditanya berhubung perkara itu, Razarudin pula berkata: “Saya belum semak lagi (menerusi carian laman sistem kehakiman).”

Muhammad Sanusi petang tadi telah menafikan masih belum menerima notis pendakwaan mahkamah sebagaimana yang dilaporkan media hari ini.

Sehingga kini, belum pasti sama ada pendakwaan itu dikaitkan dengan kenyataannya baru-baru ini yang didakwa memperlekeh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung pelantikan Datuk Seri Amirudin Shari sebagai Menteri Besar Selangor.

Terdahulu, Sultan Sharafuddin bertitah, isu Menteri Besar Kedah itu yang didakwa menghina baginda belum selesai.

Pada minggu lalu, Ahli Dewan Diraja Selangor menuntut Muhammad Sanusi agar segera membuat permohonan maaf secara terbuka berhubung isu berkenaan.

Gesaan itu dibuat lima ahlinya iaitu Tan Sri Ambrin Buang; Tan Sri Mohd. Zawawi Salleh; Datuk Mohammed Khusrin Munawi; Datuk Mohamad Adzib Mohd. Isa dan Datuk Emran Kadir yang hadir membuat laporan polis di Balai Polis Seksyen 6 di sini, hari ini.

Mereka menyifatkan kenyataan Muhammad Sanusi sebagai satu penghinaan kepada Institusi Diraja Selangor kerana membabitkan pelantikan Menteri Besar Selangor yang seolah-olah tidak wajar atau tepat.

Terdahulu, Razarudin berkata, polis menerima 31 laporan di seluruh negara membabitkan kenyataan Muhammad Sanusi yang didakwa mempertikai kewibawaan Institusi Kesultanan Selangor. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya