SETIU: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dibenarkan berceramah sepanjang tempoh kempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, tiada larangan khusus dikenakan terhadap Muhammad Sanusi walaupun beliau sedang berdepan pertuduhan hasutan ketika ini.
Menurutnya, dalam mana-mana pilihan raya sama ada Pilihan Raya Umum (PRU), Pilihan Raya Negeri (PRN) atau Pilihan Raya Kecil (PRK), semua calon dan pemimpin boleh berceramah sepanjang tempoh berkempen.
“Bagaimanapun, kita mengingatkan semua pimpinan dan calon agar mengikuti garis panduan yang telah kita edarkan secara dalaman. Ia (garis panduan) bukanlah benda baru, kita dah amalkan sejak bertahun-tahun dulu.
“Dalam masa sama, kita juga ada buat perbincangan dalaman bagaimana untuk meningkatkan keberkesanan komunikasi di kalangan para pimpinan dan penceramah-penceramah kita, itu memang sentiasa kita perbaiki dari masa ke semasa.
“Setakat ini juga, Pas tidak mengambil apa-apa tindakan terhadap Muhammad Sanusi, namun menasihatkan secara umum kepada semua ahli politik dan mengingatkan mereka agar lebih berhemah semasa kempen nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian & Penyerahan Kunci Rumah Pekerja TDM Plantation Sdn. Bhd. di Ladang Jaya dekat Sungai Tong, di sini, hari ini.
Pada Selasa lalu, Muhammad Sanusi yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah dituduh di Mahkamah Sesyen Selayang mengikut Seksyen 4(1)(A) Akta Hasutan kerana mengeluarkan kata-kata menghasut berhubung pelantikan Menteri Besar Selangor dan penubuhan Kerajaan Perpaduan dalam ceramah politik, minggu lalu.
Ditanya sama ada tindakan terhadap Muhammad Sanusi itu adalah satu bentuk pembunuhan karakter pula, Ahmad Samsuri berkata, masyarakat boleh melihat dan membuat penilaian sendiri berkaitan perkara itu.
“Saya tak nak komen tapi masyarakat boleh dengar dan nilai sendiri apa yang dikatakan seorang menteri di peringkat pusat yang sebut mereka ada perancangan untuk membuat macam-macam perkara, ia sudah tular pun di TikTok.
“Apa ni sebenarnya?. Kita nak hadap pilihan raya ke nak buat character assassination (pembunuhan karakter), kalau pilihan raya kena buat cara pilihan raya,” katanya. – UTUSAN