Sanusi dakwa ucapan diputar belit, mohon ampun kepada Sultan Selangor

Sanusi dakwa ucapan diputar belit, mohon ampun kepada Sultan Selangor

MUHAMMAD SANUSI MD. NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor memohon ampun dan maaf kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung kenyataan beliau yang didakwa memperlekehkan baginda berhubung pemilihan Menteri Besar.

Menurutnya, beliau mengutuskan surat kepada Sultan Sharafuddin untuk menjelaskan konteks, maksud sebenar dan medan yang tercangkup daripada ucapan yang didakwa sengaja diputar belit itu.

“Apa gunanya menangguk di air nan keruh. Sebaik mengetahui ucapan saya telah diputar belit oleh ejen-ejen Pakatan Harapan dan Barisan Nasional, saya telah mengutuskan warkah ke hadapan Tuanku Sultan Selangor.

“Warkah saya itu didahului dengan merafak sembah memohon ampun dan maaf kepada Tuanku Sultan Selangor seraya berharap tidaklah timbul kemurkaan baginda bersabit isu-isu yang sengaja dibangkitkan daripada ucapan itu,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, polis menerima 31 laporan di seluruh negara membabitkan kenyataan Muhammad Sanusi yang didakwa mempertikai kewibawaan Institusi Kesultanan Selangor.

Sementara itu, Muhammad Sanusi berkata, warkah tersebut tidak sesuai untuk dikongsikan kepada umum bagi memelihara kemuliaan Sultan Selangor dan menjaga adat dan adab berurusan dengan istana.

“Saya turut mendoakan agar Tuanku Sultan dan Tuanku Permaisuri terus bersemayam di atas singgahsana kerajaan negeri Selangor Darul Ehsan dalam keadaan sihat, sentosa dan penuh kemuliaan.

“Saya dimaklumkan oleh pegawai istana Selangor bahawa Tuanku Sultan telah memberi perkenan untuk menerima dan membaca warkah saya pada hari Jumaat (semalam),” katanya.

Dalam perkembangan sama, Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu berkata, beliau juga telah memberi keterangan kepada pegawai penyiasat dari Bukit Aman pada pukul 2 pagi semalam untuk melengkapkan siasatan ke atas laporan-laporan yang dibuat oleh Angkatan Muda Keadilan (AMK) PKR dan pelbagai pihak.

“Demikianlah adanya untuk makluman semua yang berminat dalam isu ini. Air nan sengaja dikeruhkan moleklah dibiarkan jernih agar terlihat kilas ikannya. Menangguklah di ketika itu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya