ALOR SETAR: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail didesak menyiasat tiga kelemahan tadbir urus yang didakwa berlaku ketika zaman Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) memerintah negeri Kedah, sebelum ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, kes pertama melibatkan PH adalah kerugian RM36 juta yang dialami Syarikat Air Darul Aman (SADA) pada 2018 hingga 2020 serta hutang berjumlah RM149 juta.
“Dia (Saifuddin) selalu tanya suruh kita jawab, malam ini saya nak tanya kamu jawab, masa kamu jadi kerajaan (Kedah) 2018 hingga 2020 SADA mengalami kerugian RM36 juta dan ada hutang RM149 juta mengapa masa itu kamu tak siasat? Kamu jawab.
“RM36 juta dan RM149 juta itu saya yang bayar, kenapa kamu tak siasat, pergi siasat. Dengan hutang (keseluruhan berjumlah) RM185 juta PH punya kerja, Saifuddin sila siasat,” katanya ketika berucap pada Majlis Pengisytiharan Calon Perikatan Nasional (PN) Kedah di sini, malam ini.
Tambah Muhammad Sanusi, Barisan Nasional (BN) juga perlu menjawab mengenai perjanjian dengan sebuah syarikat untuk membangunkan Jerai International Park yang menurutnya kerajaan negeri telah disaman.
“Perjanjian itu telah dilanggar menyebabkan kerajaan negeri disaman RM150 juta. Setelah rundingan dilakukan selama 30 tahun, kerajaan negeri tahun ini diperintah membayar RM21 juta, kenapa tak siasat?
“Zaman BN, pemimpin BN buat kerja ini, sekarang BN dan PH cium mulut. Yang kena bayar kita rakyat Kedah yang hidup hari ini. Saifuddin sila siasat dah (kerana) kamu rajin sangat pi siasat,” katanya.
Sementara itu, Muhammad Sanusi berkata, satu lagi kes yang Saifuddin perlu siasat adalah pemindahan wang milik Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah yang berjumlah RM13 juta ke Kanada.
“Sekarang kamu jawab Tok Det (Datuk Seri Mahdzir Khalid) mana pergi duit itu, mengapa tak siasat? Ada bercambah (berlambak) fail lagi di pejabat saya dan tak pernah dalam tiga tahun ini kita berhasrat melondehkan (mendedahkan) keburukan sesiapa, tapi kamu kurang ajar saya akan londeh setiap hari,” katanya. –UTUSAN