SIK: Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri yang dimenanginya penggal lalu.
Menteri Besar Kedah akan ditentang calon Barisan Nasional (BN), Datuk Muhamad Khizri Abu Kasim yang juga Ketua UMNO Bahagian Sik.
Pengumuman nama mereka dilakukan oleh Pegawai Pengurus Bahagian Pilihan Raya DUN Jeneri, Muhamad Suhaimi Man di Pusat Penamaan Calon Pejabat Daerah dan Tanah Sik.
Muhammad Sanusi yang juga penyandang kerusi itu menyerahkan borang pencalonan pada pukul 9.04 pagi diikuti Muhamad Khizri enam minit kemudian.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), beliau menang di kerusi itu mengatasi calon BN yang juga penyandang terdahulu, Mahdzir Abd. Hamid dan calon Pakatan Harapan (PH), Mohd. Nazri Abu Hassan dengan majoriti 2,455 undi.
Sementara itu, pertembungan dua penjuru turut berlaku di DUN Belantek apabila calon PN, Ahmad Sulaiman akan menentang calon PH, Mazli Saipi.
Penyandang kerusi itu, Datuk Mohd. Isa Shafie meninggal dunia pada 14 Jun lalu selepas beliau menang dengan majoriti 2,574 undi mengatasi calon BN, Datuk Mohd. Tajudin Abdullah dan calon PH, Abdul Rashid Abdullah. –UTUSAN