ALOR SETAR: Pas mengetuai senarai calon Perikatan Nasional (PN) Kedah apabila membariskan seramai 21 calon daripada parti itu untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN), 12 Ogos ini.
Seramai 12 calon pula merupakan wakil Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), sementara baki tiga lagi calon yang akan mengisi kesemua 36 Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kedah adalah wakil daripada Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan).
Sementara itu, PN memberi peluang kepada 23 calon muka baharu yang terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk bekas pemain bola sepak, ahli akademik dan golongan profesional merangkumi pelbagai peringkat umur.
Tiga calon Pas yang menjadi tumpuan antaranya, Menteri Besar yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor; bekas kapten pasukan bola sepak Kedah dan Sabah, Baddrol Bakhtiar serta bekas Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr. Haim Hilman Abdullah.
Muhammad Sanusi akan mempertahankan kerusi DUN Jeneri yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), sementara Baddrol dan Haim Hilman masing-masing ditampilkan di DUN Gurun dan Jitra.
Seorang lagi bekas pemain bola sepak Kedah era 1990-an, Radhi Mat Din dibariskan di DUN Alor Mengkudu yang pertama kali ditandingi di peringkat negeri selepas tewas pada PRU14 di Parlimen Pokok Sena.
Dalam pada itu, bekas Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. Muhammad Sufian Yusof juga seorang lagi ahli akademik yang dinamakan Pas untuk bertanding di DUN Bandar Baharu.
PN menggugurkan seramai tujuh penyandang antaranya bekas Speaker dan Timbalan Speaker DUN Kedah iaitu Datuk Juhari Bulat (Ayer Hangat) dan Ahmad Fadzli Hashim (Pantai Merdeka).
Penyandang lain yang digugurkan adalah empat bekas Exco kerajaan negeri, Mohd. Firdaus Ahmad (Kuah); Datuk Ku Abd Rahman Ku Ismail (Guar Chempedak); Dr. Robert Ling Kui Ee (Sidam) dan Datuk Azman Nasrudin (Lunas).
Seorang lagi penyandang yang tidak dinamakan semula ialah bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayu, Abd Nasir Idris.
End
SENARAI PENUH CALON PN KEDAH
N001 AYER HANGAT SHAMSILAH SIRU
N002 KUAH AMAR PARED MAHMUD
N003 KOTA SIPUTEH MOHD ASHRAF MUSTAQIM
N004 AYER HITAM AZHAR IBRAHIM
N005 BUKIT KAYU HITAM DATUK HALIMATON SHAADIAH SAAD
N006 JITRA PROF DR. HAIM HILMAN ABDULLAH
N007 KUALA NERANG MOHAMAD YUSOF @MUNIR ZAKARIA
N008 PEDU MOHD RADZI MD AMIN
N009 BUKIT LADA SALIM MAHMOOD
N010 BUKIT PINANG DATUK WAN ROMANI WAN SALIM
N011 DERGA MUHAMMAD AMRI WAHAB
N012 SUKA MENANTI DZOWAHIR AB GHANI
N013 KOTA DARUL AMAN CHUAN SEE SENG
N014 ALOR MENGKUDU MOHAMAD RADHI MAT DIN
N015 ANAK BUKIT RASHIDI RAZAK
N016 KUBANG ROTAN DATUK MOHD SALLEH SAIDIN
N017 PENGKALAN KUNDUR MARDHIYYAH JOHARI
N018 TOKAI DATUK DR MOHD HAYATI OTHMAN
N019 SUNGAI TIANG ABDUL RAZAK KHAMIS
N020 SUNGAI LIMAU MOHD AZAM SAMAT
N021 GUAR CHEMPEDAK ABDUL GHAFAR SAAD
N022 GURUN BADDROL BAKHTIAR
N023 BELANTEK AHMAD SULAIMAN
N024 JENERI DATUK SERI MUHAMMAD SANUSI MD NOR
N025 BUKIT SELAMBAU AZIZAN HAMZAH
N026 TANJUNG DAWAI HANIF GHAZALI
N027 PANTAI MERDEKA SHARIR LONG
N028 BAKAR ARANG TAI KUANG TEE
N029 SIDAM JULIANA ABD GHANI
N030 BAYU MOHD TAUFIK YAACOB
N031 KUPANG DATUK NAJMI AHMAD
N032 KUALA KETIL MEJAR MANSOR ZAKARIA
N033 MERBAU PULAS DATUK SITI ASHAH GHAZALI
N034 LUNAS KHAIRUL ANUAR RAMLI
N035 KULIM WONG CHIA ZHEN
N036 BANDAR BAHARU PROF DR MUHAMMAD SUFFIAN YUSOF