JOHOR BAHRU: Seorang samseng muda menjadi kudung selepas terlibat dalam pergaduhan antara dua kumpulan kongsi gelap melibatkan Geng 04 dan Geng 08 di Taman Tampoi Utama, Skudai, pada 3 Julai lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, mangsa yang berusia 26 tahun merupakan salah seorang daripada empat suspek yang berjaya diberkas dalam operasi dijalankan, pada hari sama.
Menurut beliau, empat suspek yang ditahan berusia antara 19 hingga 43 tahun.
“Siasatan yang dijalankan mendapati salah seorang daripada mereka mempunyai rekod kesalahan lampau bersabit kes pemerasan dan mendatangkan kecederaan parah menggunakan senjata.
“Dalam masa sama, polis juga sedang giat memburu tiga lagi ahli kongsi gelap yang masih bebas. Punca pergaduhan itu adalah berlaku selisih faham antara dua kumpulan itu ketika sedang berhibur dalam sebuah premis hiburan di Tampoi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini hari ini. Turut hadir, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Senior Asisten Komisioner Kamaruzaman Elias.
Tambah Kamarul Zaman, salah seorang suspek mengakui telah membuang pergelangan tangan mangsa di kawasan semak berhampiran lokasi kejadian.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 326 dan Seksyen 148 Kanun Keseksaan,” ujarnya.
Sementara itu, Kamarul Zaman turut memaklumkan seramai 199 ahli kumpulan kongsi gelap telah berjaya ditahan menerusi Op Cantas yang dijalankan sejak 2020 hingga Jun tahun ini.
“Antara ahli kongsi gelap yang diambil termasuklah Geng 21, Geng 36, Geng 24, Geng 04, Geng Hong Hong San, Geng Hup Hoe Tong dan Geng Jit It Hai. Mereka terlibat dalam jenayah samun berkumpulan, ugut, pemerasan dan mendatangkan kecederaan serta merusuh.
“Polis Johor memandang serius kesalahan jenayah melibatkan kumpulan kongsi gelap dan tindakan tegas akan diambil mengikut peruntukan undang-undang sedia ada,” jelasnya. – UTUSAN