Saman Anwar - Ahmad Amzad: Bicara April 2024

Saman Anwar – Ahmad Amzad: Bicara April 2024

pru15
AHMAD AMZAD HASHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kes saman fitnah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap bekas Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim ditetapkan untuk perbicaraan selama tiga hari bermula 23 April tahun depan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu.

Saman fitnah tersebut berhubung kenyataan berbaur fitnah yang dibuat Ahmad Amzah yang menyatakan bahawa Anwar berbohong menerima gaji RM1 ketika menjadi Penasihat Ekonomi Selangor.

Perkara itu dimaklumkan oleh peguam, Datuk Sankara Nair yang mewakili Anwar selaku plaintif ketika dihubungi media selepas pengurusan kes itu hari ini.

“Kes akan dibicarakan di hadapan Hakim Datuk Hassan Abdul Ghani. Mahkamah mengarahkan pihak-pihak memfailkan pernyataan saksi selewat-lewatnya 11 April 2024.

“Plaintif akan memanggil empat saksi termasuk Anwar sendiri,” ujar peguam terbabit.

ANWAR IBRAHIM

Menurut saman dan penyataan tuntutan yang difailkan pada 22 Disember 2022, Presiden PKR itu mendakwa pada 7 Disember tahun sama, Ahmad Amzad yang dinamakan sebagai defendan tunggal telah membuat beberapa kenyataan kepada sekumpulan pelanggan semasa menjamu selera di sebuah restoran.

Dakwa Anwar, kenyataan fitnah itu antaranya membawa maksud beliau tidak boleh dipercayai serta tidak jujur mengenai penerimaan jutaan ringgit daripada Kerajaan Negeri Selangor sebagai Penasihat Ekonomi, menipu orang ramai dengan menyatakan menerima gaji RM1 sebagai Penasihat Ekonomi serta melakukan kesalahan jenayah dan mengkhianati mandat rakyat.

Anwar mendakwa kenyataan fitnah itu palsu, berniat jahat dan memperlekehkannya yang mempunyai imej sangat disanjungi di peringkat negara dan antarabangsa kerana beliau menentang rasuah.

Beliau mengecam semua dakwaan terhadapnya mengenai penerimaan gaji RM15 juta dan tuduhan jenayah lampau yang dibuat itu adalah bermotifkan politik.

Menurut Anwar, dalam mengucapkan kata-kata fitnah itu, defendan dengan jelas sengaja dan berniat jahat apabila tidak mengendahkan jawapan rasmi bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim semasa persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor pada 27 Mac 2012.

Abdul Khalid menyatakan bahawa gaji Anwar sebagai penasihat ekonomi negeri Selangor hanyalah jumlah simbolik RM1.

Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am dan pampasan serta ganti rugi teruk dan teladan, selain memohon perintah injunksi untuk menghalang defendan daripada terus menerbitkan atau mengedarkan kenyataan fitnah serupa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya