ALOR SETAR: Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu mengakui masih terkejut dan hiba dengan pemergian Datuk Seri Salahuddin Ayub di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini malam ini.
Katanya, beliau berada di hospital sejak petang tadi dan turut melihat proses terakhir dilakukan oleh doktor sebelum mengesahkan kematian Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) itu pada pukul 9.23 malam tadi.
“Allahyarham mengalami kerosakan otak dan tidak dapat dipulihkan lagi. Kita rasa amat terkejut dan hiba kerana dia pergi ketika menjalankan tugas kerajaan sebagai menteri di sini (Kedah).
“Kemudian dia mengalami muntah-muntah. Dia dihantar ke hospital agak cepat tetapi tidak dapat diselamatkan,” katanya yang juga Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) ketika ditemui di pekarangan HSB, di sini malam ini.
Menurut Mohamad, isteri dan enam anak Allahyarham Salahuddin dilihat dalam keadaan tenang walaupun amat sedih dengan pemergian insan tersayang mereka.
“Kita doa dan berpesan supaya anak-anaknya pergi berbisik ke telinga walaupun dia (Salahuddin) tidak mendengar bagi memohon ampun dan maaf jikalau ada kesilapan,” ujarnya.
Mohamad berkata, arwah merupakan seorang yang gigih bekerja sepanjang menggalas tanggungjawab sebagai Menteri di kementerian berkenaan.
“Beliau amat aktif terutama sekali dalam agenda Rahmah supaya harga barang tidak naik, beliau begitu keras berusaha termasuk bertemu dengan pihak-pihak syarikat, majikan dan sebagainya untuk mengawal kenaikan harga ini.
“Kegigihan beliau itu sememangnya diakui semua orang termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyatakan beliau adalah antara menteri yang gigih menjalankan tugas,” jelasnya.
Tambahnya, hubungan persahabatan dengan Salahuddin sudah terjalin sejak mereka berusia 20-an lagi iaitu ketika masih dalam Pemuda Pas.
“Saya ucap terima kasih kepada semua dan sama-sama kita mendoakan agar roh arwah dicucuri rahmat dan keluarganya bertenang. Kematian arwah memang dalam cara mengejutkan iaitu dalam suasana gelak tawa dan bergaul dengan semua orang di siang hari tetapi Allah memanggilnya selepas itu,” katanya. –UTUSAN