ALOR SETAR: Anak kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub mengesahkan bapanya meninggal dunia sebentar tadi.
Melalui catatan di Facebook miliknya, Fatihah Salahuddin berkata, bapanya menghembuskan nafas terakhir pada pukul 9.23 malam ini di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini.
Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Pulai dan Ahli Dewan Undangan Negeri Simpang Jeram disahkan mengalami pendarahan otak sebelum menjalani rawatan di hospital berkenaan semalam.
Sementara itu, Setiausaha Akhbarnya, Syakirin Husnal memberitahu, jenazah Allahyarham sedang diuruskan untuk dihantar pulang ke rumah ibunya di Kampung Serkat (Kopi Tenggek) di Tanjung Piai, Johor untuk dikebumikan.
“Pihak keluarga Allahyarham ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pihak atas doa dan ingatan yang diberikan terhadap Allahyarham selama ini.
“Keluarga Allahyarham juga ingin berterima kasih kepada semua doktor dan petugas di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah. Semoga roh Allahyarham ditempatkan bersama-sama orang yang beriman,” katanya pada satu kenyataan.
Allahyarham meninggalkan seorang balu Fatimah Taha dan enam orang cahaya mata. –UTUSAN