Saksi tidak `diajar' tukar cerita kes Guan Eng

Saksi tidak ‘diajar’ tukar cerita kes Guan Eng

LIM Guan Eng (tengah) hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi perbicaraan kes rasuah projek terowong dasar laut Pulau Pinang. - UTUSAN/M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang saksi memberitahu Mahkamah Sesyen di sini, beliau tidak `diajar’ oleh pihak pendakwaan mahupun pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika memberi keterangan dalam dua perbicaraan melibatkan pemberian wang RM2 juta yang dikaitkan dengan projek terowong dasar laut Pulau Pinang.

Bekas Naib Presiden Kanan, Kewangan dan Perkhidmatan Korporat Consortium Zenith Beijing Urban Construction Group Sdn. Bhd. (CZBUCG), Azli Adam berkata, beliau juga tidak `diajar’ menipu atau menukar cerita berhubung pembayaran RM2 juta yang dikatakan diberi kepada Lim Guan Eng.

Ketika di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Azli, 58, memberitahu, wang RM2 juta itu diserahkan kepada ahli perniagaan, G. Gnanaraja bertujuan menutup siasatan SPRM terhadap seorang lagi ahli perniagaan, Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli.

Azli memberi keterangan pada 28 November 2019 sebagai saksi dalam perbicaraan Gnanaraja yang menghadapi tuduhan menipu Zarul Ahmad dan meminta RM19 juta supaya siasatan ditutup. Wang RM2 juta adalah sebahagian daripada RM19 juta tersebut.

Di ibu negara, bekas pegawai CZBUCG itu dipanggil sebagai saksi pendakwaan ke-28 pada perbicaraan terhadap bekas Ketua Menteri Pulau Pinang yang mana mahkamah diberitahu wang RM2 juta digunakan untuk merasuah Guan Eng.

Pada prosiding hari ini, saksi berkata, selepas memberi keterangan di Shah Alam, beliau dipanggil semula oleh SPRM pada 2020 untuk membantu siasatan berhubung wang RM2 juta yang mengaitkan Ahli Parlimen Bagan itu.

Azli disoal bertubi-tubi oleh pihak pembelaan berhubung wang RM2 juta yang diserahkan kepada Gnanaraja, walhal wang sama didakwa diserahkan kepada Guan Eng.Sewaktu ditanya oleh peguam Gobind Singh Deo pada pemeriksaan balas, Azli mengaku tidak mengetahui siapa timbalan pendakwa raya (TPR) yang mengendalikan kes di Shah Alam.

Menjawab soalan TPR Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, saksi berkata beliau tidak pernah diminta oleh TPR Nik Haslinie Hashim supaya menipu ketika memberi keterangan di Shah Alam.

Gobind: Dalam kes ini, Encik Azli beri keterangan yang sama berkenaan cek bank, invois dan beg galas (beg berisi wang RM2 juta)?
Azli: Betul.

Gobind: Tapi Encik Azli tidak beritahu mahkamah ini bahawa awak juga beri keterangan terhadap kes lain di Shah Alam.
Azli: Tidak.

Gobind: Ketika itu, Encik Azli tidak ditanya oleh TPR? Ini penting kerana menunjukkan TPR mengetahui awak juga memberi keterangan di Shah Alam dan menyembunyikan perkara itu?
Azli: Tidak ditanya.

Gobind: Encik Azli ada peluang untuk bantah sebab ia merupakan dua kes berbeza?
Azli: Saya tak tahu saya boleh bantah.

Menjawab soalan Gobind, saksi turut berkata beliau tidak mengetahui sama ada Zarul Ahmad mereka-reka keterangan terhadap Guan Eng untuk menyelamatkan diri daripada dikenakan tindakan oleh SPRM. Azli mengaku tidak mengetahui tujuan beliau dipanggil ke bilik soal siasat di pejabat SPRM untuk menemui Zarul Ahmad yang ketika itu disoal siasat.

Menjawab soalan TPR Mohammed Mokhzani Faris Mokhtar, kehadirannya ke pejabat SPRM bukan untuk menukar cerita berhubung keterangan di mahkamah. Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung esok.

Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu sedang dibicarakan atas pertuduhan pindaan menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan wang RM3.3 juta. Wang itu sebagai tindakan membantu CZBUCG milik Zarul Ahmad dilantik melaksanakan projek terowong dasar laut dan jalan utama di Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion. Zarul Ahmad ketika itu Pengarah CZBUCG.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di antara bulan Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, KOMTAR. Dia didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 (Akta 694) yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Selain itu, beliau didakwa terhadap tuduhan pindaan meminta suapan iaitu balasan berharga berupa 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh Zarul Ahmad sebagai upah membantu syarikat miliknya dilantik melaksanakan projek itu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di antara pukul 12.30 pagi dan 2 pagi, pada bulan Mac 2011 berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini. Ahli Parlimen Bagan itu turut didakwa atas dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di sana.

Mengikut pertuduhan pertama, Guan Eng didakwa menyebabkan Pendaftar Tanah Pulau Pinang melupuskan harta milik kerajaan negeri iaitu, Lot Tanah No. H.S.(D) 18801, No. PT Lot 702 Seksyen 1, Bandar Tanjong Pinang, Daerah Timor Laut, Pulau Pinang, bernilai RM135,086,094 kepada Syarikat Ewein Zenith Sdn Bhd.

Guan Eng juga dituduh menyebabkan Pendaftar Tanah Pulau Pinang melupuskan Lot Tanah No.H.S.(D) 19318, No. PT Lot 10012 Seksyen 1, Bandar Tanjong Pinang, Daerah Timor Laut, bernilai RM73,668,986 kepada Syarikat Zenith Urban Development Sdn Bhd.

Guan Eng didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Tingkat 21, KOMTAR pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017. Pendakwaan terhadap beliau dikemukakan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang emperuntukkan hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya