KANGAR: Melalui jalan Datuk Wan Ahmad di Pengkalan Asam di sini pasti mata tertumpu dengan sebuah rumah tradisional di tepi jalan yang masih tersergam indah meskipun sudah berusia 100 tahun.
Difahamkan rumah berkenaan adalah yang paling lama bertahan di negeri ini dan masih dalam keadaan baik serta terpelihara.
Keunikan seni binanya juga sentiasa menjadi perhatian termasuk pernah menjadi lokasi penggambaran iklan ikonik raya Aidilfitri Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada 2019 dan video muzik penyanyi terkenal, Yunalis Zarai atau lebih dikenali sebagai Yuna.
Rumah tersebut yang wujud sejak 1925 dengan dibina daripada kayu cengal batu dan cengal emas dalam keadaan berwarna-warni.
Pemilik asal kediaman itu adalah seorang tokoh terkenal Perlis bernama Datuk Wan Ahmad dan difahamkan beliau membelanjakan sebanyak RM6,000 ketika itu bagi mendirikan rumah berkenaan.
Wan Ahmad meninggal dunia pada 1971 dalam usia yang sudah menjangkau 92 tahun dan sebuah sekolah serta sebatang jalan di sini diabadikan dengan namanya.
Kini rumah berkenaan dihuni cucunya yang juga generasi ketiga, Rohimi Che Ani, 80, bersama anak serta menantunya, Anas Rustum, 53, dan Syeamarsyeta Ahamad, 44.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Anas berkata, setiap tahun, mereka memperuntukkan RM50,000 untuk kos-kos penyelenggaraan seperti cat, landskap, tukar bumbung, sistem perpaipan dan pelbagai lagi.
Kata anak ketiga daripada empat beradik itu, meskipun sudah berusia hampir 100 tahun namun struktur kayu masih berada dalam keadaan baik dan terpelihara.
Jelasnya, rumah berkenaan adalah hak milik persendirian dan orang ramai tidak boleh masuk sesuka hati memandangkan sebelum ini ramai yang menceroboh masuk tanpa kebenaran bergambar dan sebagainya.
“Mengikut sejarah awal pembinaan, tiang untuk membuat rumah tersebut dibelah batang kayu besar. Kerja-kerja membelah batang kayu dijalankan oleh seorang keturunan Thai yang dipanggil Long Ki.
“Sementara rumah berkenaan pula dibina oleh tukang rumah tempatan bernama Ah Wei dan Pak Mat Pelekat, Behor Temak. Ia mengambil masa kira-kira lapan tahun untuk disiapkan,” katanya.-UTUSAN