KLUANG: Ibarat ‘hidup segan, mati tak mahu’. Itulah gambaran yang boleh diberikan mengenai keadaan Rumah Persekutuan Melayu Kluang apabila tidak dimanfaatkan oleh lebih 1,000 ahlinya.
Rumah tersebut yang sepatutnya digunakan untuk aktiviti ahlinya seakan-akan ‘ditinggalkan’ kerana dikatakan tidak mempunyai apa-apa kemudahan termasuk peralatan permainan dalaman walaupun telah diwujudkan lebih 20 tahun lalu.
Yang Dipertuanya, Ramli Karim mendakwa, keadaan itu berlaku kerana tiada dana bagi pihaknya menyediakan kemudahan ekoran tiada kutipan bulanan daripada ahli yang hanya membayar yuran penyertaan sekali seumur hidup.
“Kami tidak membuat kutipan bulanan kerana tidak mahu menyusahkan ahli dan hanya mengharapkan bantuan daripada pihak tertentu sekiranya ingin membuat sebarang program.
“Sebelum ini pernah disediakan beberapa kemudahan permainan dalaman hasil sumbangan ahli, namun sudah rosak kerana tiada dana untuk menyelenggaranya.
“Malah beberapa buah gerai makan yang beroperasi di kawasan pertubuhan ini hanya perlu membayar yuran rendah kerana tidak mahu peniaga terbeban dan sekadar cukup untuk bayaran bil utiliti seperti air dan elektrik,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Ramli berkata, pertubuhan berkenaan berperanan untuk merapatkan hubungan dalam kalangan masyarakat Melayu di daerah ini.
Beliau yakin lebih ramai orang Melayu, khususnya golongan muda berkumpul dan memanfaatkan rumah pertubuhan ini sekiranya ada pelbagai kemudahan dapat disediakan.
“Oleh yang demikian, saya amat mengharapkan agar ada pihak yang mampu tampil ‘menghidupkan’ Rumah Persekutuan Melayu ini, seterusnya menjadi tempat berkumpul orang Melayu,” katanya. – UTUSAN