LUMUT: Rumah anak yatim Pertubuhan Rumah Amal Haruman Kasih di Ayer Tawar dekat sini memerlukan sumbangan orang ramai untuk menampung keperluan harian penghuninya terutama makanan.
Pengurus rumah berkenaan, Salmah Sulaiman, 52, berkata, pusat itu mempunyai 21 orang anak yatim dan ketika ini amat memerlukan sumbangan kewangan atau barang makanan.
Katanya, kekurangan sumbangan menyebabkan mereka menghadapi masalah kewangan menyediakan keperluan harian.
“Anak-anak dihantar di sini tetapi warisnya tidak memberikan wang untuk perbelanjaan makan minum, sedangkan kami hanya gunakan wang bantuan daripada masyarakat untuk keperluan mereka di sini.
“Bantuan dan sumbangan daripada masyarakat sangat diperlukan untuk menampung seramai 21 kanak-kanak, juga jika ada yang mahu memberi sumbangan beras, gula, biskut, susu.
“Diharapkan ada pihak yang sudi memberikan sumbangan. Kami sebenarnya agak malu untuk meminta-minta tetapi sekarang keadaan agak sukar, jadi kami harap ada yang mahu membantu kami,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurutnya, pertubuhan itu telah didaftarkan di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan pada Januari 2022 dan menempatkan kanak-kanak terdiri daripada anak asnaf dan yatim berusia empat hingga 17 tahun.
Selain keperluan harian makan dan minum, pihaknya juga mengharapkan ada yang sudi memberi sumbangan bagi baik pulih bangunan asrama disebabkan banyak struktur bangunan itu sudah rosak.
Menurutnya, bangunan asrama tingkat atas, lantai dan dindingnya perlu ditukar dengan binaan batu atas faktor keselamatan.
“Anak-anak perempuan ditempatkan di sebuah rumah wakaf bersama-sama guru dan penjaga yang bertugas mengajar, mendidik dan mengasuh mereka sepenuh masa.
“Bangunan yang mereka diami sudah agak usang, rosak pada bahagian lantai dan dinding yang diperbuat daripada kayu dan perlu diganti dengan binaan lebih kukuh untuk keselamatan mereka,” katanya.
Menurutnya, pihaknya juga menyewa van daripada pihak luar untuk kemudahan mengangkut penghuni di situ selain perlu membayar bil utiliti.
“Kami mahu kanak-kanak ini dapat keperluan seharian secukupnya dan tinggal di sini dalam keadaan lebih selesa dan selamat,” katanya.
Sumbangan dalam bentuk wang boleh disalurkan ke akaun pengurusan Haruman Kasih 558293647496 (Maybank) dan sumbangan keperluan seharian boleh dihantar ke pusat itu. – UTUSAN