PETALING JAYA: Konsert Ruffedge yang bakal berlangsung 19 Ogos depan di Mega Star Arena, Kuala Lumpur, bakal menampilkan Lah Ahmad serta penyanyi utama kumpulan Insomniac, Iqie.
Anggota kumpulan Ruffedge, Sein berkata, pemilihan Lah Ahmad sebagai artis undangan khas pada malam konsert itu adalah disebabkan mereka mempunyai keserasian dalam persembahan.
“Kami juga bakal mengeluarkan single bersama Lah yang akan dimuatkan dalam album baharu Ruffedge yang bakal dipasarkan tidak lama lagi,” katanya dalam kenyataan akhbar.
Konsert Ruffera That Moment In Time diteruskan di Kuala Lumpur selepas kejayaan Ruffedge berjaya menawan hati peminat di Singapura yang menampilkan DJ Uno, 24 Jun lalu.
Penerbit Kreatif Yolo Malaysia, Hamka Mohd. Taufik berkata, pihaknya juga akan menonjolkan kelainan dengan menampilkan penampilan umum sulung kumpulan R&B baharu, Distorted yang dianggotai oleh Eneyeqay, Sinolated serta Iqie.
“Pemilihan mereka adalah disebabkan Ruffedge percaya mereka akan menjadi pelapis kumpulan R&B di negara ini.
“Dengan mengekalkan DJ UNO sebagai artis undangan tetap bagi Ruffera That Moment In Time Live In Concert, penonton akan disajikan dengan alunan muzik di zaman kegemilangan R&B dan Hip&Hop satu ketika dahulu,” katanya.
Tiket konsert tersebut masih dijual bermula dari RM168 hingga RM3,888 di laman web yoloasia.com.