Rosmah dapat tangguh rayuan kes rasuah projek solar

Rosmah dapat tangguh rayuan kes rasuah projek solar

ROSMAH Mansor hadir di Mahkamah Rayuan Putrajaya bagi permohonan untuk menangguhkan rayuan kes projek solar hibrid. - UTUSAN/FISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Rayuan kes rasuah projek solar hibrid Datin Seri Rosmah Mansor yang sepatutnya bermula minggu depan, ditangguhkan pada saat-saat akhir selepas Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan permohonan beliau.

Rayuan isteri bekas Perdana Menteri untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara serta denda yang diputuskan terhadap beliau, sepatutnya didengar selama empat hari bermula 11 hingga 14 Julai.

Bagaimanapun, rayuan itu ditangguhkan oleh panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Azizah Nawawi selepas Timbalan Pendakwa Raya K . Mangai memaklumkan pihaknya tidak menerima sebarang arahan untuk membantah permohonan tersebut.

Beliau bersidang bersama-sama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk S. M Komathy.

Hakim Azizah berkata, permohonan Rosmah membolehkan rayuan beliau berhubung pelantikan (fiat) mendiang Datuk Seri Gopal Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan dalam kes berkenaan diputuskan Mahkamah Persekutuan terlebih dulu.

“Ini adalah permohonan kali pertama Rosmah untuk tangguhkan prosiding rayuan sementara menunggu satu rayuan lain didengar di Mahkamah Persekutuan.

“Memandangkan pihak pendakwaan tiada bantahan berhubung permohonan itu, mahkamah membenarkannya. Pengurusan kes seterusnya pada 18 September,” ujar Hakim Azizah.

Terdahulu, peguam Datuk Jagjit Singh yang mewakili Rosmah berkata, permohonan itu dibuat dengan niat baik tanpa bertujuan melengahkan prosiding rayuan kes solar di Mahkamah Rayuan.

Beliau menegaskan, rayuan berhubung kebenaran semakan kehakiman (Sri Ram) perlu didengar dan dilupuskan oleh Mahkamah Persekutuan terlebih dahulu.

Rayuan itu berkaitan keputusan satu panel lain Mahkamah Rayuan pada 22 Jun lalu menolak rayuan Rosmah untuk mencabar pelantikan Sri Ram yang didakwa tidak sah, dan seterusnya menjadikan perbicaraan kesnya turut terbatal.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Hanipah Farikullah sebulat suara menolak rayuan itu atas alasan perayu memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman melebihi tempoh masa tiga bulan yang dibenarkan oleh undang-undang.

Pada 1 September 2022, Rosmah, 71, dihukum penjara 10 tahun dan denda RM970 juta oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas didapati bersalah atas tiga pertuduhan rasuah tersebut.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan (kini hakim Mahkamah Rayuan) menjatuhkan hukuman itu terhadap Rosmah selepas mendapati Rosmah bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan.

Sekiranya Rosmah gagal membayar jumlah denda itu dia boleh dipenjara lagi selama 30 tahun.

Rosman didapati bersalah atas tiga pertuduhan rasuah berkaitan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Dalam petisyen rayuan difailkan pada 13 Oktober 2022, Rosmah mengemukakan 127 alasan antaranya mendakwa Hakim Mohamed Zaini merumuskan pem­belaannya adalah penafian kosong semata-mata (bare denial), sebagai tidak munasabah.

Pertuduhan pertama, Rosmah disabitkan meminta suapan RM187.5 juta, yang dibuat melalui bekas pegawai khasnya, Datuk Rizal Mansor, iaitu 15 peratus nilai kontrak daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn. Bhd., Saidi Abang Samsudin.

Pertuduhan kedua, beliau didakwa menerima rasuah RM1.5 juta daripada Saidi sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan projek itu, pada 7 September 2017.

Pertuduhan ketiga, Rosmah didakwa menerima RM5 juta daripada Saidi menerusi Rizal kerana membantu Jepak Holdings mendapatkan projek serupa di Jalan Langgak Duta. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya